Kukuhkan lantai ekonomi rakyat terlebih dahulu
KERANGKA dasar Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu boleh dikatakan banyak yang memberi reaksi positif dan tidak kurang pula melihatnya dari sudut yang berbeza.
Menerusi kerangka ekonomi tersebut, isu rakyat terus menjadi agenda utama iaitu memperkasakan rakyat dengan menaikkan lantai, dalam erti kata lain meningkatkan taraf dan darjat hidup rakyat. Di samping mengukuhkan lagi siling ekonomi negara.
Paling jelas dalam kerangka ekonomi kali ini, pihak kerajaan mengakui wujudnya jurang yang besar antara pendapatan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi.
Namun apakah kita mempunyai daya juang yang tinggi dalam memperkukuhkan lantai ekonomi rakyat, yang selama ini semakin terhimpit dengan pelbagai cabaran.
Penganalisis ekonomi melihat keupayaan membela rakyat ini bergantung kepada seberapa pantas program pembangunan dilaksanakan. Dalam konteks ini kementerian dan agensi-agensi kerajaan perlu bergerak pantas serta mempunyai misi atau hala tuju yang jelas dalam mencapai matlamat menaikkan lantai kehidupan rakyat.
Apakah kita mempunyai tekad ataupun political will yang tinggi iaitu kekuatan membuat perubahan dan transformasi perubahan ke arah yang lebih baik dalam langkah-langkah pelaksanaan.
Sebagai contoh, apakah kita sanggup membuat perubahan dalam pemberian permit kelulusan (AP) untuk mengimport barangan pertanian dan makanan yang lebih murah dan mudah.
Apakah pihak yang bertanggungjawab sanggup menggandakan usaha mengawal harga dan stok barangan keperluan tanpa perlu melihat rakyat terlebih dahulu merasai kesusahannya.
Apakah pihak berkuasa sanggup menstruktur semula sistem perbankan agar lebih fleksibel dan kreatif dalam menyantuni para pelanggannya. Contohnya, mereka yang ingin memiliki rumah pertama, mereka yang memulakan perniagaan di pasar malam dan sebagainya.
Apakah kita sanggup membuat perubahan iaitu mencari jalan penyelesaian iaitu meredakan kos pendidikan, perubatan, perumahan rakyat yang semakin tinggi sejak akhir-akhir ini.
Jika kita dapat memperkukuhkan asas lantai ekonomi rakyat terlebih dahulu, pastinya lebih mudah untuk memasang pasak atau tiang bagi menyokong siling rumah atau memperkukuhkan siling ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!