Servis di tangan Misbun
DUA faktor sahaja yang memungkinkan untuk bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek kembali semula ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, faktor utama adalah keakraban hubungan legenda badminton negara tersebut dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang terjalin sekian lama.
Bagaimanapun, Pekan berkata, semua pihak perlu menghormati pendirian Misbun sekiranya bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu negara tersebut tidak berganjak dengan keputusan sebelum ini.
“Menerima kembali tawaran BAM (khususnya dengan campur tangan Presiden Tan Sri Norza) atau tidak mahu kembali semula sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM itu hak Datuk Misbun.
“Saya fikir pasti sukar untuk Misbun buat keputusan dalam masa sehari dua ini. Saya percaya hatinya masih terbuku, terluka dan terkilan.
“Kalau Misbun terima kembali pun saya rasa atas dua sebab saja, pertama kerana rasa hormat pada Tan Sri Norza kerana hubungan baiknya sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Pada Rabu, BAM menawarkan kembali jawatan kepada Misbun untuk menghabiskan kontraknya sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) sehingga hujung tahun ini.
Menurut Pekan, faktor kedua adalah anak-anak buahnya masih memerlukan sentuhan Misbun yang telah lama bersama mereka sebelum ini terutamanya dari aspek latihan dan gaya permainan.
“Sebab kedua sudah pastilah dia tidak mahu mengecewakan pemain-pemain remaja yang sedang disiapkannya untuk Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington tak sampai dua bulan lagi.
“Pada saya ini ibarat misi yang belum selesai bagi Misbun yang perlu diterjemahkan dalam bentuk keputusan positif. Mungkin atas dua sebab utama ini Misbun bakal kembali semula,” ujarnya.
Bagaimanapun, Pekan juga tidak menolak kemungkinan Misbun perlu berdepan cabaran lain sekiranya menerima semula tawaran BAM untuk kembali berkhidmat bersama badan induk tersebut.
“Persoalan suasana tidak menyeronokkan mungkin timbul selepas apa yang berlaku sebelum ini kalau Misbun masih ada hati nak bekerja di sana (ABM).
“Boleh.... tetapi sesuatu perlu dilakukan BAM untuk menjernihkan suasana kembali, itu paling penting kerana kita tidak mahu nanti para pemain negara yang akan menjadi mangsa tak kira apapun keputusan yang diambil Misbun,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!