PRN: JBPM Selangor periksa tahap keselamatan di pusat undi
SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor melaksanakan pemeriksaan bangunan serta pepasangan keselamatan kebakaran di lokasi-lokasi yang akan digunakan sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN) supaya berada dalam keadaan baik.
Pengarah JBPM Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, aspek keselamatan menjadi agenda utama pihaknya menjelang PRN pada 12 Ogos ini dengan melakukan persiapan dan kesiapsiagaan termasuk melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi-lokasi utama.
Menurutnya, JBPM Selangor melakukan pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di dewan serbaguna yang diguna sebagai pusat pengumuman calon dan sekolah-sekolah sebagai lokasi pembuangan undi.
"Kita semua sedia maklum bahawa Selangor menjadi negeri yang menjadi tumpuan dalam PRN ini.
"Untuk itu, JBPM Selangor berusaha memastikan tahap keselamatan kebakaran di lokasi-lokasi utama PRN berada dalam keadaan terbaik," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, bukan sahaja memastikan premis-premis tersebut berada dalam keadaan baik, pihaknya juga memastikan terdapat peralatan keselamatan di lokasi terlibat.
Jelas beliau, pepasangan keselamatan kebakaran dipastikan masih boleh berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan keselamatan melibatkan dua aspek iaitu sistem pasif dan sistem aktif.
Beliau berkata, sistem pasif melibatkan pemeriksaan struktur bangunan atau premis iaitu laluan masuk ke lokasi tanpa sebarang halangan atau sekatan, selain laluan atau ruang tangga di dalam bangunan adalah selamat.
"Perkara itu sangat penting bagi memastikan jentera bomba mudah mengakses ke lokasi sekiranya berlaku kejadian kebakaran atau situasi cemas.
"Untuk itu, kita amat menitik berat aspek melibatkan sistem aktif seperti salur bantu mula (hose reel) dan alat pemadam api ada disediakan," ujarnya.
Tambahnya lagi, kesemua 38 buah balai bomba di seluruh Selangor telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!