Seonung alami patah hidung
PERAK FC sekali lagi terpaksa melupakan khidmat penyerang dari Korea Selatan, Seo Seonung akibat kecederaan apabila mengalami patah hidung disebabkan insiden yang berlaku dengan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rodney Akwensivie pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak pada malam Khamis.
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berkata, biarpun pasukannya memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-1 tetapi kehilangan Seonung akan dirasai.
"Kemenangan 3-1 ini dibayar dengan cukup mahal. Saya kehilangan Seo kali kedua kerana saya diberitakan hidungnya patah dan terus ke dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Saya sedih kerana dia tak sepatutnya terima apa yang berlaku dan semangat kesukanan sepatutnya ada dalam mana-mana diri pemain atau kita sebagai manusia kerana perkara-perkara begini tidak harus berlaku," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Perak malam tadi.
Bagaimanapun beliau menerima ketentuan tersebut dan pemain berkenaan terpaksa berehat sehingga hujung bulan untuk memastikan kecederaan kembali pulih.
Dalam insiden itu, Rodney dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal selepas menendang muka Seonung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!