Kes pukul: Mekanik, tukang cat motosikal didenda RM4,000
IPOH - Dua individu yang memukul seorang lelaki di tengah jalan minggu lalu dan video kejadian tular di media sosial didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat.
Majistret Jesseca Daimis menjatuhkan hukuman itu terhadap tukang cat motosikal, Helmi Zaharuddin, 43, dan mekanik, Aslam Suliman, 28, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan lelaki tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi masih bebasmenyebabkan cedera ke atas K Gopal, 34, di bahagian kepala dengan menggunakan batang aluminium.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun di sini sekitar jam 5.30 petang pada 27 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Norzam manakala kedua-dua tertuduh yang masih bujang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Harbhajan Singh.
Pada prosiding berasingan, Aslam turut didenda sebanyak RM1,800 dan dikenakan pengawasan selama dua tahun oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, tahun lalu.
Jesseca Daimis turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 8.40 malam pada 24 Oktober 2022.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda sehingga RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin dan tertuduh diwakili peguam YBGK, Harbhajan Singh.
Kedua-dua tertuduh menjelaskan denda tersebut.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis mengesan lima lelaki yang terlibat dalam pergaduhan selepas video kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp pada minggu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis kesan lima lelaki bergaduh tengah jalan
Video tular gaduh guna rotan: Polis kenal pasti identiti lima suspek
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!