Permohonan kes muhyiddin dibicarakan bersama 19 September depan

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menetapkan 19 September depan untuk prosiding pendengaran permohonan pendakwaan supaya empat tuduhan menggunakan kedudukan dan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dibicarakan bersama.

Hakim, Azura Alwi turut menetapkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis pada 8 September ini sementara hujahan balas pada 15 September.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, kedua-dua pihak sudah selesai memfailkan dokumen masing-masing berhubung permohonan itu.

Menurutnya, pendakwaan juga menyerahkan beberapa jilid dokumen kes kepada pasukan pembelaan.

“Oleh kerana tertuduh tidak hadir (dikecualikan kehadiran) dalam prosiding kali ini dan mengikut undang-undang ia mesti diserahkan kepadanya, maka kami bersetuju ia diserahkan kepada pembelaan selain memohon supaya serahan dokumen ini direkodkan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh ini, memohon supaya anak guamnya dikecualikan kehadiran pada prosiding 19 September, namun Azura memutuskan tertuduh perlu hadir pada tarikh pendengaran itu.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Tiga hari kemudian, iaitu 13 Mac, Muhyiddin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas pertuduhan ketujuh, iaitu kes pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!