'Pas Kelantan hanya jual slogan sepanjang 33 tahun tadbir negeri'
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad mendakwa Pas hanya 'menjual' slogan sepanjang mentadbir negeri ini sejak 33 tahun lalu.
Beliau berkata, ia terbukti apabila parti politik itu didakwa menjadikan hudud sebagai modal 'jualan' sebelum beralih kepada 'menjual syurga dan neraka'.
"Terbukti bila jual syurga, tengok dalam poster salah seorang calon.
"Betullah mari kita bersama menuju syurga, itu dakwah tapi tak kan letak dalam poster pilihan raya. Bila kita mengadu pada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), katanya hanya potong ayat itu sahaja, tidak perlu turunkan poster," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.
Menurut Md Alwi, ALLAH melarang menjual ayat-ayat al-Quran dengan harga yang murah.
Ujarnya, bagaimanapun Pas tidak mempedulikan perkara tersebut asalkan mendapat undi.
Tambah beliau, bagi Pas undi itu adalah segala-galanya buat mereka.
"Tapi bagi kita memang undi segala-galanya. Insya-ALLAH kita akan kekal dalam kerajaan Persekutuan yang ada.
"Kita mahu enam negeri ini bersama kerajaan Persekutuan bagi memudahkan pelaksanakan program dan rancangan membangunkan negara, rakyat dan orang muda di masa hadapan dalam masa lima tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!