KPKT perlu teliti jika mahu pinda Akta Perumahaan - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah (dua dari kiri) mendengar penerangan berkaitan loji rawatan kumbahan Taman Mayang Fasa 2, Kuala Kangsar yang belum mendapat sokongan dan perakuan Indah Water Konsortiun (IWK).
Akmal Nasrullah (dua dari kiri) mendengar penerangan berkaitan loji rawatan kumbahan Taman Mayang Fasa 2, Kuala Kangsar yang belum mendapat sokongan dan perakuan Indah Water Konsortiun (IWK).
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu meneliti secara mendalam masalah dan kekangan projek perumahan di negara ini sebelum melakukan pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu bagi memastikan pindaan dilakukan nanti bukan hanya bersifat reaktif, sebaliknya mampu memastikan industri berkenaan terus terjamin.

Menurutnya, daripada dapatan dilakukan didapati, setiap projek berdepan masalah yang berbeza mengikut faktor lokaliti dan agensi pelaksanaannya.

"Terdapat beberapa pertimbangan dalam mana-mana perkara yang kita buat kerana dalam aspek pembinaan perumahan ini, keadaannya sangat dinamik bergantung keadaan pasaran, agensi teknikal dan peredaran perundangan itu sendiri.

"Sebab itu kita lebih berhati-hati dan melihat dulu maklum balas, tetapi Insya-ALLAH ada kemajuan dari segi ini," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Taman Mayang Fasa 2 dekat sini pada Jumaat.

Akmal Nasrullah (dua dari kanan) menyampaikan peruntukan RM1.5 juta bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai Taman Mayang Fasa 2, Kuala Kangsar di bawah Inisiatif Belanjawan 2023.
Akmal Nasrullah (dua dari kanan) menyampaikan peruntukan RM1.5 juta bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai Taman Mayang Fasa 2, Kuala Kangsar di bawah Inisiatif Belanjawan 2023.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr Sakduddin Zamli.

Akmal Nasrullah berkata, KPKT menyambut baik gesaan pindaan akta itu agar dapat meningkatkan kecekapan pengurusan industri secara keseluruhan bukan hanya berdasarkan projek bermasalah, sakit mahupun terbengkalai.

Katanya, akta sedia ada masih belum mencukupi untuk mengatasi segala isu dibangkitkan berkaitan pembinaan dan pembangunan perumahan.

"Apabila kita mula ambil dapatan dari satu tapak ke satu tapak, harapnya dapat kenal pasti karakter dan punca (masalah) secara lebih strategik.

"Dari segi pindaan, tidak hanya kepada akta, kementerian juga meneliti peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan kerana kita nak pastikan bukan sahaja dari segi perkara asas, tetapi melalui peraturan juga kita dapat mengelak projek itu tergelincir daripada progres sepatutnya," katanya.

Dalam lawatan itu, Akmal Nasrullah menyampaikan peruntukan RM1.5 juta bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai Taman Mayang Fasa 2 di bawah Inisiatif Belanjawan 2023.

Projek terdiri daripada 65 unit rumah teres dua tingkat dan 22 unit rumah berkembar dua tingkat itu diisytiharkan terbengkalai pada September 2018 disebabkan kegagalan memperolehi sijil kelayakan menduduki (CF) berikutan loji rawatan kumbahan sedia ada belum mendapat sokongan dan perakuan Indah Water Konsortiun (IWK).

Menerusi peruntukan diberikan, kerja-kerja menaik taraf loji dapat dilaksanakan sehingga keseluruhan projek mendapat perakuan siap dan pematuhan.

Jun lalu, Persatuan Pemilik Bangunan Terbengkalai Malaysia (Victims) menggesa krajaan meneliti semula Akta Perumahan yang masih lemah dan lapuk sehingga mendorong kepada berlakunya punca lambakan projek perumahan terbengkalai serta bermasalah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!