[VIDEO] 'Tukar kerajaan negeri, boleh tukar kerajaan Persekutuan? - Anthony

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menempelak Perikatan Nasional (PN) yang didakwa semberono dalam membuat kenyataan kononnya perubahan kepada kerajaan negeri mampu mengubah kedudukan kerajaan Persekutuan.

Justeru, Anthony menggesa PN supaya menghentikan politik tidak matang dan tidak mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, kenyataan PN itu jelas menunjukkan pihak lawan itu sudah ketandusan modal untuk berkempen.

"Jadi saya berharap rakyat tidak terkeliru dengan kenyataan yang dibawa oleh PN bahawa melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) ini boleh mengubah kedudukan kerajaan Persekutuan.

"Mereka selalu memainkan provokasi dengan membentuk satu bayang-bayang untuk menakutkan pengundi khususnya pengundi-pengundi Melayu.

"Tapi saya terkejut dengan dakwaan kononnya PN yang mengatakan pilih Barisan Nasional (BN) bermakna pilih DAP, yang jelas tiada seorang calon DAP pun yang bertanding di Terengganu. Apa punya logik itu? Jadi bayang-bayang itu hanya untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya.

Anthony - Foto Awani
Anthony - Foto Awani

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra penduduk Terengganu bersama Anthony Loke, di sini pada Khamis.

Majlis itu bagaimanapun dibatalkan sebagai menghormati pemergian bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah.

Dalam pada itu, Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, kempen bagi calon BN dan PH di negeri itu akan diubahsuai selari dengan pengumuman tempoh berkabung.

Jenazah Tengku Besar Terengganu yang mangkat awal pagi Khamis, selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini selepas solat Asar, semalam.

Tuanku Mizan Zainal Abidin turut memperkenankan tempoh berkabung selama lima hari bermula Khamis. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!