Majikan dicadang potong 20 peratus gaji pekerja asing
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia mencadangkan majikan yang menggaji pekerja asing membuat pemotongan 20 peratus daripada gaji asas bulanan pekerja masing-masing.
Menterinya M. Kula Segaran berkata saranan itu antara lain bertujuan menghalang pekerja asing melarikan diri dan majikan tidak berdepan kerugian ke atas pelaburan untuk membawa masuk pekerja berkenaan.
Beliau berkata isu pekerja asing melarikan diri merupakan antara bebanan besar yang dihadapi majikan dan cadangan itu dilihat relevan dalam menangani situasi tersebut.
"Cadangan ini telah dikemukakan kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) minggu lepas dan ia terbuka untuk dibincangkan bersama pemegang taruh sebelum dimuktamadkan.
"Jika dilaksanakan, ia merupakan situasi menang-menang kepada majikan dan pekerja kerana kedua-dua pihak sama-sama mendapat faedah daripada pemotongan itu," katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama 60 Majikan Dalam Industri Sarung Tangan Getah di sini hari ini.
Kula Segaran berkata wang gaji pekerja asing yang dipotong akan disimpan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum diserahkan kepada pekerja terbabit ketika mahu pulang ke negara asal selepas tempoh permit kerja mereka berakhir.
"Hal ini turut dibangkitkan dalam pertemuan tadi dan rata-rata majikan menyambut baik saranan tersebut," katanya dan menambah kerajaan tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk pelaksanaan sebaliknya menyerahkan kepada pemain industri untuk menerima atau menolak saranan itu.
Beliau berkata cadangan itu bukan sesuatu yang baharu kepada industri kerana hal tersebut telah dilaksanakan di Jepun dan Korea Selatan dan ia berjaya dalam menangani isu pekerja asing melarikan diri.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata kementeriannya telah melantik Ahli Parlimen Klang Charles Santiago selaku penyelaras Badan Audit Bebas bagi melakukan audit pematuhan sosial menyeluruh ke atas syarikat pembuat sarung tangan getah di negara ini.
Beliau berkata Charles yang berpengalaman selaku aktivis yang terlibat dalam 'social audit' di seluruh negara sebelum bergelar wakil rakyat diberi peranan menyediakan laporan kepada kementerian berhubung pematuhan peraturan Pertubuhan Pekerja Antarabangsa (ILO) di semua syarikat pembuat sarung tangan getah.
Katanya antara aspek yang akan diberi tumpuan adalah berkaitan penggunaan buruh paksa serta pekerja dipaksa bekerja lebih masa selain beberapa kriteria penggunaan pekerja asing yang ditetapkan menurut piawaian ILO.
"Laporan ini boleh digunakan oleh kerajaan untuk menjawab dakwaan yang dibuat kerajaan Britain, ahli parlimen di Eropah serta syarikat asing berkenaan penggunaan buruh paksa oleh pemain industri tersebut di sini," katanya.
Pada Jumaat lepas, akhbar The Guardian di United Kingdom dalam laporannya mendakwa syarikat pembuat sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corp Berhad menindas ribuan pekerja asing termasuk memaksa mereka bekerja lebih masa mencecah 160 jam sebulan, melebihi tempoh bekerja lebih masa 104 jam yang ditetapkan undang-undang.
Menurut laporan itu, antara situasi dihadapi pekerja asing berkenaan ialah menjadi mangsa buruh paksa, kerja lebih masa secara paksa, beban hutang, gaji ditahan dan pasport dirampas.
Bagaimanapun, dakwaan itu telah dinafikan Kula Segaran pada Selasa lepas selepas pihaknya melawat hampir kesemua kilang milik syarikat itu di Ipoh, Perak yang mendapati tiada unsur paksaan ke atas pekerja asing di 35 buah kilang milik syarikat terbabit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!