Air mawar penaik aroma martabak
PEKAN - Bandar Diraja Pahang, Pekan bukan hanya popular dengan pencuci mulut puding raja, namun juga terkenal dengan keenakan martabak.
Bagaimanapun, penggunaan air mawar dalam pembuatan martabak menjadikan sebuah kedai di Jalan Engku Arif Bendahara di sini, tidak menang tangan untuk melayan pelanggan khususnya pada bulan Ramadan.
Pemiliknya Datuk Tun Mohamad Aidil Razali, 38, yang mengambil alih perniagaan itu daripada orang tuanya berkata penggunaan air mawar itu bermula sejak restoran itu mula beroperasi sekitar tahun 1980-an.
"Air mawar menjadikan aroma martabak kami lebih menyelerakan selain memberi identiti kami. Kalau ditanya asal usul resepinya, saya tidak begitu tahu kerana sejak dahulu hanya begini sahaja bancuhan yang saya pelajari.
"Kalau dilihat bahan-bahan yang digunakan pun sama sahaja seperti martabak lain iaitu tepung, telur, garam dan gula...cuma di sini selain air mawar, kami juga menggunakan 16 jenis rempah untuk inti ayam atau daging," katanya semasa ditemui di sini, hari ini.
Tun Mohamad Aidil berkata setiap kali Ramadan, mereka menjual kira-kira 1,100 keping martabak sehari, termasuk 300 yang tempah awal setiap hari, berbanding maksimum 200 keping pada hari biasa.
Katanya, setiap martabak dijual pada harga RM10 dan bagi melayani permintaan pelanggan yang bertali arus bermula 3 petang, mereka dibantu 12 pekerja.
"Bagaimanapun hanya dua orang sahaja yang boleh menebar martabak dan dua lagi membancuh inti kerana kami mahu menjaga keaslian dan menjamin kualiti rasa supaya pelanggan berpuas hati.
"Operasi menyediakan martabak bermula seawal 9 pagi kerana semuanya termasuk inti dibuat baharu setiap hari. Kami bermula dengan menyiapkan tempahan awal sebelum menyediakan bahan untuk jualan harian," katanya.
Tun Mohamad Aidil berkata mereka yang 'tidak sempat' membeli sebelum berbuka tidak perlu rungsing kerana waktu operasi kedainya dipanjangkan sehingga 2 pagi, khusus untuk mereka yang mahu menikmati martabak sebagai moreh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!