PN akan batal projek tambak laut jika ambil alih Pulau Pinang
BAYAN LEPAS - Perikatan Nasional (PN) tidak akan meneruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) sekiranya diberi mandat oleh rakyat bagi mengambil alih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pendirian itu selari dengan tuntutan nelayan negeri itu yang tidak mahu tempat mereka mencari rezeki dimusnahkan hanya kerana pembangunan yang menguntungkan pihak tertentu sahaja.
Menurutnya, kawasan tangkapan itu bukan sahaja penting untuk keterjaminan sumber makanan rakyat malah ia merupakan lokasi strategik bagi sektor perikanan dan pelancongan.
"Jika mandat diberikan kepada PN dalam PRN kali ini, bukan kata tiga pulau tetapi satu pulau pun kita tak akan buat tambakan di negeri ini.
"Kita bukan mahu menghalang pembangunan, tetapi pembangunan yang dibawa oleh DAP di Pulau Pinang ketika ini adalah hanya membina kondominium dan rumah mewah yang tidak mampu dibeli oleh anak-anak Pulau Pinang," katanya ketika ditemui media di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Dominic yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas hadir memberi sokongan pada sidang media Persatuan Nelayan Pulau Pinang berhubung tuntutan nelayan Pulau Pinang kepada calon-calon yang bertanding pada PRN Pulau Pinang di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar.
Mengulas lanjut, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu berkata, meskipun skop projek berkenaan kini sudah dikecilkan kepada hanya satu pulau, namun pihaknya konsisten membantah projek tambak laut itu sejak dahulu.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan rancangan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau iaitu melibatkan pengurangan 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).
Rancangan projek itu kini hanya melibatkan pembinaan Pulau A atau ‘Silicon Island’ yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan.
Bagaimanapun, projek PSI itu terus mendapat bantahan majoriti golongan nelayan negeri ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar yang mendesak ia dibatalkan sepenuhnya, bukannya hanya dikurangkan kepada satu pulau.
Pada Rabu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memasukkan pembangunan projek `Silicon Island’ di dalam 16 tunjang manifesto mereka bagi PRN kali ini dengan sasaran menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!