Manifesto Perpaduan PP 2023 utama kepentingan rakyat

A
A
A

Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di Butterworth Arena pada 1 Ogos lalu.
Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di Butterworth Arena pada 1 Ogos lalu.

BUTTERWORTH- Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbentuk telah meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, bertunjangkan kepada 16 tema utama, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa memikul amanah yang diberikan serta memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan.

Menurutnya, kerajaan juga akan memikul prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan dan pastinya akan membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

"Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang merupakan sebuah mandat baru yang bukan hanya menyediakan negeri ini ke arah lonjakan kedua ekonomi baru sejajar dengan landasan Ekonomi Madani yang menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bercambah sebanyak enam peratus.

Kon Yeow menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 untuk pilihan raya negeri (PRN) ke-15.
Kon Yeow menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 untuk pilihan raya negeri (PRN) ke-15.

"Selain itu, manifesto ini juga terus menyediakan serta mempelbagaikan bantuan-bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira usia, latar belakang dan juga organisasi.

"Yang pasti, manifesto ini akan memperkasakan lagi Pulau Pinang ke arah yang lebih gemilang dengan memastikan rakyatnya terus hidup dalam suasana aman, harmoni berlandaskan kehidupan yang berkualiti," katanya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang sentiasa memikul amanah yang diberikan, memastikan tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan serta membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

"Seperti yang saya tekankan, saya komited untuk meneruskan segala usaha yang telah dimulakan sejak 2008, malah jika diberi mandat sekali lagi untuk menerajui Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri, kerajaan yang dipimpin akan mewakili nilai-nilai perpaduan bukan perpecahan, pembangunan bukan kemunduran, kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta tadbir urus yang baik.

"Saya komited melipatgandakan lagi usaha supaya Pulau Pinang semakin maju yang mana rakyatnya dapat menikmati hasil yang melimpah ruah dari bumi bertuah ini sejajar dengan gagasan Visi Penang2030 yang dicetuskan oleh saya sendiri iaitu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara," katanya.

Gabungan PH dan BN akan sentiasa memikul amanah yang diberikan serta memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan.
Gabungan PH dan BN akan sentiasa memikul amanah yang diberikan serta memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan.

Beliau berkata, Kerajaan Pulau Pinang telah membuktikan kejayaan menarik lebih daripada RM200 bilion pelaburan pembuatan diluluskan.

"Dalam pada itu, bagi terus memperkasakan pembangunan modal insan di Pulau Pinang, sekolah-sekolah di negeri ini memperoleh suntikan peruntukan tahunan melebihi RM146 juta.

"Berpegang kepada prinsip sebagai sebuah negeri cakna kebajikan, Kerajaan Pulau Pinang komited memperuntukkan lebih daripada RM417 juta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan juga agama.

"Semua pencapaian ini mampu dan telah menjadi kenyataan susulan kepercayaan serta mandat yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang sejak 15 tahun lalu. Justeru, mempertahankan Pulau Pinang adalah amat penting dalam memastikan visi kita bersama terus terpelihara dan diperjuangkan," katanya.

Kon Yeow bersalam dan menyantuni penyokongnya.
Kon Yeow bersalam dan menyantuni penyokongnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 juga menyentuh 15 perkara penting iaitu:

1-Menambah baik program bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU dan miskin tegar.

2-Menarik pelaburan berimpak tinqqi melalui pembangunan Projek Pulau Silikon yang direka bentuk mengikut prinsip prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan dijangka menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.

3-Membangunkan 'Meditech City' di Batu Kawan dan Projek GBS By The Sea bernilai RM100 juta.

4-Bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji dari golongan B40.

5-Memulakan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Kereta Kabel Bukit Bendera.

6-Menyediakan bantuan RM600 setahun kepada pemandu e-hailing dan insurans kemalangan diri kepada penunggang p-hailing (motosikal) serta meneruskan bantuan RM600 setahun kepada pemandu teksi dan bas sekolah.

Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di Butterworth Arena pada 1 Ogos lalu.
Pelancaran Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 di Butterworth Arena pada 1 Ogos lalu.

7-Memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030.

8-Mencapai 220,000 unit perumahan mampu milk serta 22,000 unit sewa beli menjelang tahun 2030.

9-Memperkenalkan Skim Perumahan Sewa Khas kepada golongan belia atau bujang.

10-Memberi bayaran bantuan sara hidup kepada pesawah serta pekebun sayur dan bantuan pukat kepada golongan nelayan.

11-Program Mempelai Emas RM500 secara 'one-off' untuk setiap pasangan yang baru mendirikan rumahtangga.

12-Membina Jalan Berkembar Tanjong Bungah - Teluk Bahang, Persimpangan Berlian Mencapah (Diverging Diamond Interchange) di Persimpangan Juru dan Jalan Pintasan Sungai Bakap serta menyiapkan pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam sehingga ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

13-Memperuntukkan RM10 juta untuk Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sehingga tahun 2028.

14-Memperuntukkan RM2 juta setahun sebagai geran kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

15-Sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kerajaan Pulau Pinang akan memastikan sentiasa senang didekati rakyat.
Kerajaan Pulau Pinang akan memastikan sentiasa senang didekati rakyat.

16 tema utama Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang 2023

1- Cakna kebajikan rakyat

2- Sosioekonomi rakyat diperjuangkan

3- Suntikan pekerjaan berkemahiran tinggi

4- Syiar Islam dipertahankan

5- Kelengkapan infrastruktur utama

6- Penyeimbangan pembangunan kawasan luar bandar

7- Percambahan modal insan

8- Perumahan untuk semua

9- Memperkasakan golongan wanita dan belia

10- Keterjaminan rantaian makanan

11- Pemantapan sektor pelancongan dan perkhidmatan

12- Inisiatif penyuraian trafik

13- Keharmonian masyarakat majmuk

14- Demokrasi dipertahankan

15- Hak Pulau Pinang

16- Persekitaran berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

ADVERTORIAL

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!