Pelaburan Infineon RM25 bilion di Kedah bukti keyakinan pelabur

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik pelaburan tambahan berjumlah lima bilion euro (RM25 bilion) oleh Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim, Kedah membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ketua Koordinator Pertubuhan Demokrat Sosial (DEMUDA), Aliff Naif Mohd Fizam, 25, berkata, ia merupakan satu perkembangan yang sangat baik menunjukkan pelabur antarabangsa yakin terhadap kapasiti Malaysia untuk membangunkan perniagaan mereka yang secara tidak langsung bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda di negeri ini.

"Walaupun Kedah negeri pembangkang, tetapi Perdana Menteri masih membawa masuk pelaburan ke negeri ini dan itu menunjukkan kebolehan beliau untuk menarik pelaburan yang bernilai tinggi ke Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini berkata, pelaburan tersebut bakal menguntungkan anak muda tempatan dari sudut peluang pekerjaan, selain akan turut merancakkan kegiatan ekonomi di Kulim.

"Saya yakin dan percaya lebih ramai anak-anak Kedah yang mempunyai kemahiran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat diserap bekerja dalam sektor perkilangan ini dengan gaji yang lumayan tanpa perlu berhijrah keluar dan mampu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka,” katanya.

Pekerja swasta, Nur Faqihah Arifin, 26, pula berkata, beliau bangga kerana Kedah dipilih sebagai destinasi pelaburan tersebut yang pastinya akan menguntungkan rakyat di negeri itu.

Infineon semalam mengumumkan perancangan meningkatkan kemudahannya di Kulim untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sebanyak lima bilion euro bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sejak lima dekad yang lalu, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka.

Mengulas mengenai pelaburan tersebut, Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan gagasan Ekonomi Madani yang menyasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!