Rampasan kuasa: Presiden Niger dakwa dijadikan tebusan

Mohamed Bazoum. - Foto Africa Intelligent
Mohamed Bazoum. - Foto Africa Intelligent
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Niger, Mohamed Bazoum dalam op-ed di The Washington Post mendakwa beliau telah dijadikan tebusan oleh tentera yang merampas kuasa dan meminta Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa membantu mengembalikan kerajaan berperlembagaan di negara itu, lapor Sputnik.

"Saya menulis ini sebagai orang tebusan. Niger diserang oleh junta tentera yang cuba menggulingkan demokrasi dan saya adalah antara ratusan rakyat yang telah dipenjarakan secara sewenang-wenangnya dan secara haram," kata Bazoum pada Khamis.

Bazoum diguling oleh pengawal presiden pada 26 Julai, dengan perampas kuasa mendakwa mereka bertindak demikian bagi melindungi keselamatan Niger.

Beliau berkata, tidak ada justifikasi untuk rampasan kuasa tentera itu dan jika berjaya, ia akan memberi kesan buruk kepada Niger, rantau ini dan seluruh dunia.

Bazoum mendakwa, seluruh wilayah tengah Sahel boleh jatuh ke dalam pengaruh Rusia melalui Kumpulan Wagner.

Awal minggu ini, jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller berkata AS belum melihat sebarang tanda bahawa Kumpulan Wagner cuba mengeksploitasi keadaan di Niger.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih John Kirby pada Khamis berkata AS percaya masih ada masa untuk menyelesaikan situasi di Niger secara diplomasi.

Pada Ahad, Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat yang terdiri daripada 15 negara anggota pro-Barat, memberi tempoh seminggu kepada pemimpin rampasan kuasa itu untuk mengembalikan semula presiden ke jawatannya, atau blok itu akan mengambil semua tindakan untuk memulihkan keadaan di sana. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!