Menangkan BN jika mahu Pas terus relevan di Seberang Takir - Ahmad Razif
KUALA NERUS - Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menggesa pengundi Pas memberi kemenangan kepada beliau sekiranya ingin melihat parti itu kekal relevan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, tindakan Pas yang memberi laluan kepada Khazan Che Mat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di kawasan berkenaan hanya melenyapkan impian parti itu menakluk Seberang Takir.
Ini kerana katanya, menjadi tradisi sejak dahulu kawasan tersebut hanya melibatkan persaingan antara BN dan Pas.
"Satu benda yang agak pelik kerana buat pertama kalinya calon (Khazan) bukan anak tempatan Seberang Takir dipertaruhkan (oleh Pas).
"Pas perlu ingat kalau Khazan yang menang, maka kawasan Seberang Takir selama-lamanya akan duduk di bawah Perikatan Nasional (PN). Maka, berakhirlah riwayat Pas untuk menjadi wakil rakyat di sini," katanya ketika ditemui selepas jelajah mesra di Pasar Teluk Ketapang di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan pemimpin Pas bahawa DUN Seberang Takir bakal dimenangi mereka pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar berkata, pengundi dan penyokong Pas perlu memberi undi kepadanya untuk membolehkan parti tersebut bersaing pada pilihan raya akan datang.
Ujarnya, dengan memberi kemenangan kepada calon BN akan mengembalikan peluang kepada Pas untuk menakluk kawasan tersebut.
"Saya yakin kalau diadakan pilihan raya semula selepas ini, calon Pas pula akan dicalonkan. Jadi, berikan kemenangan kepada saya," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!