PRN: Pegawai, anggota Medan Barat TD sedia bertugas di 27 kawasan
KOTA BHARU - Pegawai dan anggota Medan Barat Tentera Darat bersedia dalam penugasan ketenteraman awam di 27 kawasan di enam negeri sempena pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Panglima Medan, Leftenan Jeneral Tengku Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, tanggungjawab tugasan melibatkan beberapa daerah termasuk lapan di Terengganu, enam di Kedah dan tujuh di Pulau Pinang.
Menurut beliau, pasukan berkenaan akan berhubung dengan ketua polis di semua daerah terbabit dan perkara itu sudah diselaraskan.
"Walaupun pada masa sama kita terlibat dengan pengundian pos tetapi kesemua anggota dan pegawai yang terlibat kini dalam keadaan bersedia sepenuhnya bagi membantu melancarkan proses PRN sekiranya diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Eksesais Keris Strike Siri 28/2023 antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan United States Army Pacific Command (USARPAC) pada Jumaat.
Hadir sama, Pegawai Memerintah 1-5 INBN USARPAC, Leftenan Kolonel Jonathan Earl Doiron dan Pegawai Memerintah Divisyen ke-11 Airbone USARPAC, Mejar Jeneral Brian S Eifler.
Tengku Muhammad Fauzi turut menasihatkan warga medan barat tentera darat melaksanakan tangungjawab sebagai warganegara.
"Sempena PRN itu, jumlah keseluruhan pasangan tentera medan mengundi ialah lebih 17,000," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, pengundian kali ini tidak memerlukan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kerana sudah dimuktamadkan sebelum ini.
"Kita tiada sebarang masalah kerana bukan lagi pandemik dan semua anggota serta pegawai ATM sudah ada dos ketiga dan keempat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!