Wafiy Ann ingin lari daripada imej kanak-kanak
PELAKON dan penyanyi, Wafiy Ann enggan terus dibayangi imej kanak-kanak memandangkan usianya kini sudah mencecah 21 tahun.
Ujar Wafiy atau nama penuhnya, Mohd Wafiy Ilhan Johan, sudah tiba masanya penonton mengenalinya dengan imej yang lebih matang sesuai dengan perubahan usia.
“Saya bermula dengan Astro Ceria pada usia 11 tahun, jadi masih ramai lagi yang anggap saya masih kanak-kanak walaupun usia saya tahun ini sudah mencecah 21 tahun.
“Bila saya terima cabaran untuk terlibat dalam program Real Men Malaysia: Wira Merah, saya anggap ia sebagai satu transisi antara zaman kanak-kanak ke era yang lebih dewasa,” ujarnya yang enggan lagi terlibat dengan program di Astro Ceria.
Wafiy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu terbitan Astro Ria, Real Men Malaysia: Wira Merah baru-baru ini.
Tambah Wafiy, dia berharap mendapat peluang dan kepercayaan daripada penerbit dan pengarah untuk membawa watak yang berbeza pada masa akan datang.
Malah, demi memberi imej baharu buat penerbit dan penonton secara amnya, anak kelahiran Beaufort, Sabah itu tidak berkira untuk membina badan.
“Saya teringin juga nak bawa watak aksi atau watak yang lebih matang, tapi dengan badan yang kurus ini, saya tahu pasti ada yang memandang rendah.
“Jadi saya berjinak-jinak untuk bina badan dan program ini juga secara tidak langsung memberi input dan ilmu yang bermakna buat saya.
“Selain lakonan, saya juga sedang mencari material lagu baharu yang lebih matang untuk dipersembahkan kepada peminat,” katanya yang bermula dengan program nyanyian Ceria Popstar.
Sementara itu, berkongsi pengalaman terlibat dalam program yang diadaptasi daripada Korea Selatan itu, Wafiy berkata, ia memberikan satu pengalaman berharga dan dalam masa sama mencabar mental serta emosi.
“Bagi dan mungkin semua, perkara yang paling mencabar adalah ketika kami diminta lakukan satu cabaran yang memerlukan kami bersedia dari sudut ketahanan diri.
“Harus buat enam langkah dan setiap satu langkah jaraknya 20 meter. Kami perlu pakai baju yang beratnya 14 kilogram dan tangki oksigen yang beratnya lebih 20 kilogram.
“Memang mencabar sehingga ada antara kami yang muntah sebab kepenatan,” ujarnya.
Wafiy berkata, dia dan tujuh lagi selebriti yang terlibat dalam Real Men Malaysia: Wira Merah sedia menaja mana-mana individu yang merasakan apa yang dilakukan mereka mudah bagi merasai sendiri pengalaman sama.
Selain Wafiy, antara yang terlibat dalam program ini ialah atlet negara speed climbing, Mat Redho; pempengaruh media sosial, Arieff Yong; pelawak Shashic; model Eric Lay; hos Daniel Cheang dan Hawa Rizwana serta pelakon Jasmine Suraya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!