Kapal OPV sudah serah ke belum?

Tangkap layar kenyataan di Facebook milik Zaki Salleh pada Jumaat
Tangkap layar kenyataan di Facebook milik Zaki Salleh pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM- Penyerahan kapal peronda luar pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sebelum ini dijadualkan pada 24 Julai lepas dikatakan masih belum dibuat sehingga kini.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, ia menimbulkan tanda tanya kerana masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkaitan.

“OPV 1 janji akan diserahkan pada Mac 2023 selepas selesai ‘sea trial’ dan boleh terlibat semasa LIMA 2023. Tapi ia ditangguhkan atas alasan meriam dari Turkiye tidak sampai.

“Ia dijanji akan diserahkan pada 24 Julai, namun apabila tiba tarikhnya, kapal masih belum diserahkan. Sehingga sekarang, tiada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak.

“Kalau bulan lapan tahun lepas, yang ni (isu ini) tentu akan menjadi modal semasa kempen. Siapa yang pandai ‘spin’, dia boleh menjadi juara. Tunggulah apa jadi selanjutnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Kontrak pembinaan tiga buah OPV untuk Maritim Malaysia ditandatangani pada tahun 2017 dengan kos RM738.9 juta dan sepatutnya siap pada 2020 tetapi lewat atas alasan pandemik Covid-19.

Kapal itu kemudiannya dijanjikan akan siap pada 2021 namun masih belum diserahkan.

Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) mengambil keputusan untuk mengambil alih projek OPV 1 pada Januari lalu selepas dikesan menghadapi masalah besar dengan suntikan pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

Pada Mac pula, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution telah mengadakan lawatan mengejut ke lokasi pembinaan kapal di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah, Selangor.

Beliau kemudiannya mengesahkan kapal itu akan diserahkan pada 24 Julai selepas dimaklumkan oleh syarikat bertanggungjawab membina kapal terbabit, THHE.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!