Pemaju lepas tangan, pembeli rumah merana 'diburu' along
NIBONG TEBAL - Lebih 150 isi keluarga kini hidup dalam ketakutan walaupun mereka tinggal di dalam rumah sendiri yang telah selesai segala pembayarannya.
Segalanya berpunca daripada tindakan rakus pihak pemaju yang didakwa tamak dengan wang ringgit, lantas memaksa pembeli rumah di Taman Halaman Indah, Sungai Jawi, Nibong Tebal menanggung deritanya.
Untung jutaan ringgit mungkin sudah dikaut oleh pihak pemaju, namun akibat pinjaman tersebut, pembeli rupa-rupanya ditinggalkan dengan hutang dengan sembilan syarikat wang berlesen dan juga along haram.
Dalam gelisah memikirkan hutang bak keliling pinggang, mereka mendapat khabar pula syarikat pemaju telah diisytihar muflis.
Lalu kepada siapa nasib kumpulan pemilik rumah ini hendak dibawa dan dibela?
Surat peguam
Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Taman Halaman Indah, Habibur Rahman Seeni Mohamed, kesemua 155 pembeli telah menerima surat dari peguam menuntut bayaran hutang.
“Kunci semua kami dah dapat tetapi ada terima surat peguam yang mahukan tuntutan untuk lunaskan hutang, dan sekarang setiap pembeli perlu bayar RM21,000 akibat tindakan pemaju yang lepas tangan.
“Kadang-kadang pihak mereka (along) ada hantar orang mereka untuk buat semakan sama ada rumah berpenghuni atau tidak, jadi memang akan sentiasa ada kereta tak dikenali memantau kawasan ini,” katanya ketika ditemui Awani baru-baru ini.
Projek sakit
Projek Taman Halaman Indah ini pernah tersenarai dalam salah satu projek sakit dan setelah terbengkalai sekian lama, taman perumahan itu disiapkan dan harga rumah di situ ditawarkan pada harga murah.
Menurut Michael Chuah yang juga merupakan salah seorang mangsa pembeli, hasrat pembelian secara tunai dengan tujuan tidak mahu menanggung sebarang hutang akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri buatnya.
Walaupun sudah jelas pihak pembeli menjadi mangsa keadaan, syarikat peminjam enggan pula menyelesaikan hal itu menerusi perundingan. Tiada bayaran secara ansuran ditawarkan, malah mereka ditekan dengan bayaran secara ‘one off’.
“10 tahun memang kami hidup dalam ketakutan walaupun rumah sendiri. Kami takut kena halau, gertak dan macam-macam perkara yang merisaukan (tindakan along).
“Mak ayah pun tidur tak lena di rumah, jadi kalau nak bercakap soal penyelesaian, memang daripada dulu tiada sebarang tindakan daripada pihak berwajib. Kalau ada penyelesaian, kami tidak akan berhimpun untuk tuntut keadilan dan hak kami,” katanya.
Geran rumah
Kesemua pembeli juga umpama menginap di rumah haram apabila selepas sedekad berlalu, mereka masih belum memiliki geran rumah.
Bagi Shahariza Mohd Saarah, beliau sendiri sudah jemu dengan alasan yang dikemukakan pihak pemaju setiap kali bertanyakan soal tuntutan geran.
“Pemaju janji apabila selesai buat bayaran mereka akan serahkan geran tetapi setiap kali dituntut, mereka beri macam-macam alasan untuk lewatkan serahan (geran).
“Saya beli rumah sejak tahun 2010 dan sekarang dah masuk tahun 2023 geran masih tak dapat-dapat, jadi bayangkanlah sendiri nasib pembeli macam mana,” luahnya.
Cengkaman pinjaman
Untuk rekod, projek bermasalah ini pernah mendapat bantuan daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang ketika itu diterajui oleh Datuk Zuraida Kamarudin.
KPKT difahamkan telah melunaskan bayaran hutang sebanyak RM7.2 juta bagaimanapun pihjak pemaju seakan tidak serik dan terus menempah maut apabila membuat pinjaman kedua berjumlah RM3 juta.
Kembimbangan pembeli bertambah kerana 21 Ogos ini bakal menjadi hari penentu - sama ada mereka mampu untuk menyelesaikan segala hutang atau proses lelongan rumah akan berjalan.
Pemaju dibiarkan bermaharajalela mengaut keuntungan jutaan ringgit sedangkan pembeli terus dibiarkan dalam keadaan tergantung, dan dihantui mimpi ngeri.
Timbul juga persoalan, adakah wujud ‘tangan ghaib’ yang menjadikan pemaju berkenaan kebal dengan perlindungan sehingga masih terlepas daripada tindakan undang-undang.
Bermacam bentuk surat juga telah dilayangkan kepada pihak berwajib dengan harapan adanya pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk menoktahkan kebuntuan.
Bagaimanapun, pihak yang diharapkan itu seolah-olah mengambil sikap 'membutakan mata dan memekakkan telinga', dan jauh sekali harapan untuk melihat mereka turun padang dan bertindak.
Realitinya, sehingga kini mereka dibiarkan terus hidup dalam kebuntuan tanpa sebarang pembelaan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!