Rakyat mahu pemimpin jujur, boleh dipercayai - Penganalisis

Mohammad Tawfik
Mohammad Tawfik
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat tidak mahu manifesto yang sekadar melontarkan idea semata-semata tetapi mahukan pemimpin jujur dan boleh dipercayai selain mampu menyelami masalah secara menyeluruh.

Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, manifesto yang dijanjikan tidak ditepati dilihat sedikit sebanyak menghakis kepercayaan rakyat.

“Manifesto itu sekadar kertas ataupun buku yang dicetak kemudiannya tidak diberikan perhatian semula selepas pilihan raya maka saya lihat lama-kelamaan manifesto itu mengurangkan kepercayaan rakyat atau pengundi terhadap kerajaan.

“Idea sahaja tidak boleh mengenyangkan rakyat, tetapi mereka melihat pemimpin yang memberi perhatian tentang isu kos sara hidup, pekerjaan dan pada masa yang sama melihat bagaimana anak-anak mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan aman serta harmoni hasil kekayaan sumber negara,” katanya dalam program Sinar Live yang bertajuk Manifesto: Janji manis pikat pengundi bersama hos Haizir Othman yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Beliau berkata,senario politik persepsi di negara ini bukan sahaja mampu mengubah pendapat rakyat, tetapi memberi kuasa penuh untuk menukar mana-mana parti politik yang dirasakan tidak mampu memimpin negara.

Tambah Tawfik, perkara itu turut didorong oleh gelombang media sosial apabila semua maklumat boleh diakses sehingga mampu menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap sesebuah parti sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.

Mohammad Tawfik (kiri) ketika program Sinar Live yang bertajuk Manifesto: Janji manis pikat pengundi bersama hos Haizir Othman yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Mohammad Tawfik (kiri) ketika program Sinar Live yang bertajuk Manifesto: Janji manis pikat pengundi bersama hos Haizir Othman yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

“Kalau kita jangkakan keputusan hari ini melibatkan satu pihak akan menang dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang belum tentu lagi keputusan itu terus kekal bersama parti yang dipilih.

“Bagi saya setiap orang boleh hasilkan idea atau pandangan, namun bagaimana ia diterjemahkan menerusi tindakan bukan sekadar melontarkan idea tetapi tidak realistik dengan apa yang dialami oleh rakyat menyebabkan mereka akan menolak idea berkenaan,” jelasnya.

Ujar beliau, setiap ahli politik yang mempunyai pengalaman sebagai pembuat dasar perlu menjadikan perkara tersebut sebagai intipati penting manifesto supaya gagasan itu boleh diteruskan.

Menurutnya, jika calon pilihan raya masih menganggap manifesto sebagai kaedah menarik sokongan rakyat, maka ia akan menjadi sukar sekiranya janji tersebut tidak dapat ditunaikan selepas meraih kemenangan.

“Jadikan dasar-dasar sebelum ini yang gagal diteruskan agar ia mampu mengangkat semula ekonomi atau pembangunan maka teruskan semula ketika mendapat peluang menjadi kerajaan akan datang. Itu adalah manifesto.

“Manifesto yang disenaraikan belum tentu dapat dilaksanakan dan ini menyebabkan rakyat semakin bosan dan muak dengan sikap pemimpin yang sering bermain istilah atau retorik politik,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!