Persatuan Ulama Malaysia tolak ICERD
Yang Dipertua PUM, Datuk Al Syeikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, ini kerana tiada keperluan bagi kerajaan meratifikasi ICERD yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, adat budaya dan kerukunan hidup masyarakat di negara ini.
Malah katanya, ratifikasi itu mampu memberi kesan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh berkaitan Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“PUM juga menggesa semua pihak termasuk pimpinan Kerajaan supaya memahami dan mengiktiraf hak asasi sebenar yang menjadi keperluan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Apatah lagi hak dan keperluan tersebut telahpun ada dan disepakati sejak merdeka dengan wujudnya kontrak sosial antara kaum,” katanya melalui kenyataan media.
[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD agenda DAP untuk kuasai negara?]
[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD rugikan Melayu]
Katanya, Perlembagaan Persekutuan mencukupi dalam mengiktiraf hak kesamarataan melalui Perkara 8 bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi dan ketidakadilan, sama ada dalam konteks agama, bangsa, keturunan, tempat lahir dan jantina, adalah terjamin dan menepati keperluan semasa masyarakat di negara ini.
Jadi katanya, Malaysia tidak memerlukan campur tangan atau keterikatan dengan kuasa asing dalam menjamin keadilan dan kestabilan negara.
“Bahkan cukup untuk kita mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang kepada perpaduan dan asas pembangunan kaum dan negara Malaysia.
“Apatah lagi jika diteliti, pencabulan dan pelanggaran hak asasi dan diskriminasi di negara kecil, terutama di negara-negara umat Islam tertentu, oleh kuasa besar lebih meluas tanpa sebarang tekanan,” katanya.
Dalam pada itu, PUM juga mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada semua pihak terutama kerajaan, dalam usaha memartabatkan agama dan bangsa serta mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!