Sanusi perlu malu kes kecurian REE di Kedah - Anwar
JITRA – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya berasa malu dengan kegiatan kecurian unsur nadir bumi (REE) yang didakwa berlaku di Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, disebabkan itu Sanusi seharusnya memberikan penjelasan tentang dakwaan tersebut.
"Dia kata Perdana Menteri ini, Perdana Menteri jamban sebab dia pergi periksa jamban. Saya tidak rasa hina. (Itu) sekolah anak kita, sekolah cucu kita.
“Apa salah, apa malu. Hangpa patut malu, ada kuasa duduk curi balak, nadir bumi kemudian duduk maki orang. Hang jawab masa ini juga," katanya ketika berucap pada Taarif Perpaduan di pekarangan Bilik Gerakan Utama Harapan-BN di Jitra di sini pada Jumaat.
Hadir sama, calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra Datin Sabrina Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) dan calon DUN Bukit Kayu Hitam Zainol Abidin Mohamad dari Barisan Nasional (BN).
Dalam perkembangan lain, beliau menyeru pemimpin negeri untuk memberi contoh terbaik kepada golongan muda melalui dakwah secara hikmah dan ke arah kebaikan.
Anwar berkata, pemimpin negeri tidak seharusnya mengeluarkan perkataan mencerca orang lain.
"Ini saya nak sebut, saya pergi Jeneri (hari ini) dan orang Jeneri itu pun (Muhammad Sanusi Md Nor) hari-hari maki saya "bodo", "tak dak moral", "penipu", "kepala bapak" memang jadi satu amalan dah,"katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan, pemimpin negeri perlu memberi penerangan tentang usaha telah dan ingin dilakukan untuk membantu rakyat di Kedah.
Tambah Anwar, pemimpin negeri juga perlu mampu bekerja dan mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan untuk kebaikan negeri terlibat.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
ARTIKEL BERKAITAN:Saifuddin dakwa Sanusi panik, dalam sindrom penafian
Siasatan kecurian REE tiada kaitan PRN - Saifuddin
[VIDEO] Saifuddin dedah gambar lawatan Sanusi ke tapak REE
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!