Gaji rendah beri kesan terhadap kualiti hidup

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PURATA gaji setiap kaum di negara ini dilihat mempunyai jurang yang besar antara kaum dan ia mampu memberi kesan terhadap kualiti hidup individu atau isi rumah.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menzahirkan kebimbangan apabila Laporan Statistik Upah Pekerja Sektor Formal Suku Tahun 2023 menunjukkan sebahagian besar rakyat dibayar gaji yang rendah.

Statistik Upah Pekerja Suku Pertama Sektor Formal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan upah bulanan Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah sektor formal terendah berbanding negeri lain.

Upah atau gaji yang dikeluarkan berbeza mengikut kelulusan akademik, tahap kemahiran dan pengetahuan teknikal berkenaan urusan pekerjaan yang dimohon.

Walaupun begitu, dengan peningkatan kos sara hidup, tingkat gaji yang tidak meningkat bukan sahaja memberi kesan emosi tetapi juga tahap kualiti hidup terutama masyarakat di kawasan bandar.

Masalah kewangan juga antara punca keruntuhan rumah tangga, mobiliti masyarakat yang rendah dan juga peningkatan budaya hedonisme terutama golongan muda terpaksa melibatkan diri dengan aktiviti kurang bermoral untuk mendapatkan wang dengan lebih mudah.

Bank Negara Malaysia (BNM) menganggarkan kos sara hidup di Lembah Klang RM2,600 untuk warga bujang manakala RM4,600 kepada yang sudah berkeluarga sememangnya kurang mencukupi.

Harga barang makanan dan perkhidmatan yang meningkat naik sehingga menjadi beban sekali gus mengganggu kualiti hidup seseorang apabila perbelanjaan isi rumah melebihi pendapatan.

Senario ini dilihat sama seperti waktu negara dilanda wabak Covid-19 apabila ramai yang terkesan sehingga ada yang terpaksa dibuang kerja dan kehabisan wang simpanan.

Pasca Covid-19 dilihat masih sama dan masyarakat turut bergelut untuk memulakan hidup baharu selain terpaksa berhadapan dengan inflasi serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi memulihkan ekonomi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!