Nurul Syazwani mahu bawa suara rakyat
CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang mempunyai keinginan tinggi untuk membawa suara rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Ikuti temu bual wartawan Mohd Izzatul Izuan Tahir bersama Nurul Syazwani Noh menyelami apakah perubahan yang ingin dibawa Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang itu sekiranya menang pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
SINAR HARIAN: Kenapa memilih menyertai politik sedangkan mempunyai karier sebagai seorang peguam?
NURUL SYAZWANI: Saya sejak dulu lagi minat dalam politik sebab daripada kecil sudah melihat bahawa politik ini boleh membantu ramai orang. Dari situ juga, kita nampak politik boleh membina sebuah negara bangsa yang berjaya. Tanpa kuasa politik, tentunya kita sukar hendak membina dasar-dasar negara.
SINAR HARIAN: Sekiranya diberi mandat oleh rakyat, apa yang hendak dibawa di DUN Permatang?
NURUL SYAZWANI: DUN Permatang sebelum ini penyandangnya adalah daripada PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang merupakan parti pemerintah kerajaan negeri Selangor. Saya melihat banyak permasalahan rakyat berkaitan kerajaan negeri masih belum dapat perhatian, antaranya isu berkaitan masalah penempatan tanah melibatkan Kampung Seri Makmur dan beberapa masalah lain lagi. Saya juga ingin menjadikan Permatang sebagai hab pengeluar makanan kerana di sini kita mempunyai kepelbagaian tanaman pertanian termasuklah sawah padi.
SINAR HARIAN: Tertarik dengan tanda pagar #restartpermatang, apakah maksud sebenar yang ingin dijelaskan kepada pengundi?
NURUL SYAZWANI: Tanda pagar ‘restart Permatang’ itu bermaksud ingin memulakan pembaharuan dalam kuasa dan juga pentadbiran di DUN ini yang bersifat lebih mesra rakyat dan berkebajikan. Saya yakin pengundi di sini ingin bersama-sama membawa perubahan dan masa depan lebih baik untuk kebaikan penduduk.
SINAR HARIAN: Apakah yang ingin dilakukan sekiranya PN berjaya menawan Selangor?
NURUL SYAZWANI: Selangor merupakan negeri pusat ekonomi tetapi sekarang penduduk di negeri ini antara penduduk yang kita lihat paling tertekan akibat ekonomi semasa. Saya nampak, sekiranya PN menang, perkara utama yang kita tumpukan ialah bagaimana hendak meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat di Selangor. Sebagai contoh harga barang, bagaimana hendak membantu rakyat? Adakah apa dilakukan kerajaan negeri ketika ini sudah mencukupi? Sebab itu kita perlu memikirkan bagaimana meningkatkan ekonomi rakyat di negeri ini secara keseluruhannya.
SINAR HARIAN: Bagaimana pandangan terhadap pengundi muda. Adakah mereka menyokong PN atau PH?
NURUL SYAZWANI: Saya berpandangan pengundi muda terutama di Selangor memang boleh nampak kecenderungan mereka kepada PN. Saya sendiri memang banyak mendekati anak muda sebab saya juga salah seorang yang kenal anak muda kawasan sini. Jadinya saya sendiri kawan mereka. Bila kita berkawan lebih mudah untuk kita bergerak.
Apa yang lebih penting, kita kena faham dan memahami anak muda. Anak-anak muda ini perlukan pemimpin yang mudah mesra untuk didekati. Bila kita bersama dengan mereka, kita senang untuk mendekati dan memahami masalah yang dihadapi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!