‘Pilih calon yang berintegriti, sopan tatasusila’
SHAH ALAM - Pengundi yang bakal membuang undi sempena pilihan raya negeri (PRN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini digesa memberi undi mereka kepada calon yang berintegriti dan sopan tatasusilanya.
Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, pemilihan calon yang bersih penting bagi memimpin negara ke arah 'pemanduan' lebih baik sekali gus membawa kesejahteraan kepada rakyat.
"Tugasan rakyat selain memilih calon yang mampu mendamaikan keadaan, beberapa faktor lain juga harus diambil kira, calon-calon haruslah dalam kalangan mereka yang baik ahklak dan sopan tutur bicaranya, serta sering mengajak rakyat untuk bekerja demi negara bukannya semata-mata memenangkan parti yang mereka bawa.
"Calon yang berintegriti akan sentiasa tegas dengan tindakan serta tidak sesekali akan bersekongkol dengan perkara buruk, insya-ALLAH pemilihan yang betul bakal membawa Malaysia ke arah 'jalan yang benar', dan rakyat akan menikmati kesan baik itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini hari pengundian sementara 29 Julai 2023 (Sabtu) lalu sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal pula pada 8 Ogos ini.
Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai 2023 sehingga pukul 11.59 malam, 11 Ogos 2023 (Jumaat).
Dalam pada itu, PRN di enam negeri itu menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemaskini sehingga 21 Jun 2023.
Tambah Halmey, rakyat harus menolak calon-calon yang hanya pandai bercakap serta memaki hamun dan mempamerkan akhlak yang buruk.
"Ini bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara kita terjaga dan ekonomi kita juga akan meningkat dengan keadaan politik negara yang semakin stabil," tegasnya.
Katanya lagi, semua pihak sudah tidak mampu lagi melayani kehendak nafsu segelintir ahli politik yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa.
"Mereka akan ketepikan segala bentuk perkara yang boleh menghalang daripada menjadi wakil rakyat termasuk perkara-perkara yang menyalahi integriti.
"Malaysia akan bangun dengan kepimpinan unggul berakhlak mulia. Perlu diingatkan apa yang dilakukan pemimpin akan diikuti oleh anak muda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!