Ramai doktor di Israel 'angkat kaki'
TEL AVIV - Sistem kesihatan Israel di ambang keruntuhan berikutan ramai doktor mahu meninggalkan wilayah yang diduduki.
Perkara itu didedahkan Naftali Kaminski, profesor perubatan dan Ketua Pulmonari, Penjagaan Kritikal dan Perubatan Tidur Sekolah Perubatan Yale di Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, selain bersedia 'angkat kaki', doktor Israel juga sanggup berkhidmat tanpa bayaran di AS untuk tempoh tertentu sebelum diberi jawatan tetap dan taraf pemastautin.
"Pakar perubatan Israel yang kini berada di AS juga enggan kembali ke wilayah yang diduduki dan mencari jalan untuk kekal berada di negara ini," ujar Naftali.
Persatuan Perubatan Israel sebelum ini mendedahkan hampir 500 doktor dijangka meninggalkan Israel dan memberi amaran bahawa penghijrahan itu boleh mencetuskan krisis perubatan yang teruk.
Menurut Kaminski, lonjakan permintaan daripada doktor Israel meninggalkan wilayah Palestin yang dijajah semakin meningkat sejak Knesset (Parlimen Israel) meluluskan klausa utama dalam rombakan sistem kehakiman.
Rang undang-undang (RUU) didukung Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersama sekutu gabungan dalam kerajaan pimpinannya itu diluluskan dengan 64 undi menyokong.
Rombakan itu bakal mengehadkan kuasa Mahkamah Agung untuk membatalkan keputusan kerajaan yang disifatkan oleh hakim sebagai 'tidak munasabah'.
Pengkritik mendakwa rombakan sistem kehakiman itu boleh menghapuskan semak dan imbang terhadap eksekutif.
Pembangkang menuduh Netanyahu yang kini sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah sebagai mempunyai konflik kepentingan, manakala sebilangan penunjuk perasaan pula melabelnya sebagai 'menteri jenayah.'
Rombakan sistem kehakiman tersebut mencetuskan bantahan besar-besaran selama berbulan-bulan di seluruh Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!