Kertas siasatan himpunan LGBT diserah ke Pejabat Peguam Negara
KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung perhimpunan didakwa berunsur lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu kota pada 29 Julai lalu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada Jumaat.
"Lapan suspek berusia antara 18 hingga 56 tahun yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman sehari tamat pada 30 Julai lalu.
“Kertas siasatan kes berkenaan juga sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara semalam (Jumaat) untuk tindakan lanjut,” ujarnya ketika ditemui pada Program KL Cops Urbanathlon 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan lapan lelaki disyaki terlibat ajaran Ahmadi Religion ditahan polis selepas terlibat dalam himpunan terbabit pada 29 Julai lalu.
Suspek yang menyertai perhimpunan itu menyatakan di Malaysia ini hak-hak LGBT disekat dan mereka melaungkan 'down syariah court' sambil memegang kain rentang.
Dipercayai mereka sudah menyertai kumpulan itu hampir dua tahun.
Salah seorang suspek baru sahaja ditahan kerana mengedarkan risalah berkaitan kepercayaan mereka di sebuah masjid di sekitar Putrajaya beberapa minggu lalu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!