Usaha martabat bangsa tidak harus jerumus negara ke arah polarisasi

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah baginda mengingatkan bahawa perjuangan untuk memartabatkan sesuatu bangsa tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan yang didambakan.

Seri Paduka bertitah, polirasasi akan wujud apabila kaum-kaum semakin merenggang di antara satu sama lain, sama ada disebabkan oleh perasaan, sikap, tujuan dan cita-cita yang mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan antara pelbagai kaum.

"Polarisasi turut membawa implikasi sosio budaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur-unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor, pada Sabtu.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

Al-Sultan Abdullah mengingatkan apa jua batasan pemisah, jurang perbezaan dan lautan prasangka perlu segera direntasi dalam usaha melahirkan masyarakat masa hadapan yang hidup dengan penuh keharmonian.

Menyentuh mengenai usaha murni UiTM untuk melahirkan anak bangsa Melayu dan Bumiputera yang berpendidikan tinggi, baginda mengingatkan universiti itu untuk tidak alpa dengan kemajmukan dan kerencaman masyarakat negara ini.

Baginda turut menyeru kepada semua universiti serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini untuk turut sama memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.

"Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan, tetapi pada masa yang sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, semangat akomodasi antara kaum dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri-ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari dan tanpanya apa juga usaha ke arah membangunkan negara yang maju tidak akan menjadi kenyataan.

Sementara itu, baginda bertitah, bagi melahirkan modal insan masa hadapan, ia bukan hanya sekadar dilengkapi dengan kemahiran untuk memenuhi pasaran tenaga kerja semata-mata sebaliknya hendaklah diperkasa dengan kemahiran insaniah.

Ia merangkumi prinsip moral terpuji, keunggulan budi pekerti, berperadaban mulia dan memiliki semangat jadi diri serta cintakan negara yang sejati.

"Beta yakin modal insan yang berpendidikan tinggi serta memiliki nilai keperibadian yang mulia adalah merupakan aset yang amat berharga kepada negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Baginda bertitah, istiadat konvokesyen ke-97 ini merupakan tugasan terakhir baginda sebagai Canselor UiTM dan baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada universiti itu atas segala pengalaman manis dan berharga.

"Amanah besar sebagai Canselor universiti ini selanjutnya akan dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17, bermula pada Februari 2024,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong berharap sepanjang hampir lima tahun yang berlalu, baginda telah dapat menyumbang sedikit sebanyak idea yang bernas ke arah kemajuan universiti keramat itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!