Calon PH DUN Pilah pilih kempen bersemuka
KUALA PILAH - Kebanyakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah memahami kerjasama gabungan politik menerusi Kerajaan Perpaduan namun perlu penjelasan secara terperinci kepada pengundi dalam kalangan warga emas.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Pilah, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, justeru kempen secara bersemuka dengan menyantuni pengundi rumah ke rumah antara pendekatan yang memberi kesan positif.
"Setakat ini, kita melihat pengundi boleh menerima Kerajaan Perpaduan tetapi untuk diterjemahkan kita menunggu 12 Ogos nanti, cuma terdapat pengundi 60 tahun ke atas masih kurang faham mengenai Kerajaan Perpaduan.
"Kalau DUN Pilah ini yang bertandingnya logo Pakatan Harapan, jadi penerangan kita kepada warga warga emas itu terutamanya di kawasan pedalaman perlu jelas iaitu kita mewakili Kerajaan Perpaduan selain Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita ketika jelajah mesra di Pekan Kuala Pilah pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, tidak meminggirkan pengundi muda walaupun masing-masing memahaminya melalui hebahan maklumat di media sosial ataupun internet.
"Secara umumnya di DUN Pilah ini pengundi berumur 50 hingga 60 ke atas itu peratusnya lebih ramai berbanding pengundi muda. Jadi kita memerlukan bantuan juga daripada kepimpinan setempat seperti ketua kampung untuk memberi penjelasan," katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini Noorzunita bertembung dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan Pesuruhjaya PAS negeri, Rafiei Mustapha untuk bertanding di DUN Pilah.
Kerusi DUN berkenaan sebelum ini dimenangi oleh PH pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang diwakili oleh Mohamad Nazaruddin Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!