Shereen lebur rekod 25 tahun kebangsaan

Shereen Samson
Shereen Samson
A
A
A

ATLET olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) pada aksi final Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023 di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat pada awal pagi Sabtu.

Dia mencatatkan masa 23.33 saat (s) sekali gus memadamkan rekod legenda olahraga negara, G Shanti, 23.37s yang dilakukan di Fukuoka, Jepun 25 tahun lalu.

Aksi final itu dimenangi atlet Jamaica, Nataliah Whyte dengan catatan 22.76s diikuti Talitha Diggs dari AS kedua (22.83s) manakala pelari Nigeria, Favour Ofili ketiga (22.94s).

Sebelum ini, Shereen memecahkan rekod 400m kebangsaan berusia 30 tahun apabila melakar catatan 51.80s pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays di California pada April lalu.

Catatan itu sekali gus memperbaharui rekod milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada tahun 1993 di Filipina.

Atlet berusia 25 tahun itu juga membuktikan kualiti yang dimilikinya untuk merangkul emas di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.

Dia juga dalam rangka persiapan untuk menghadapi Sukan Asia Hangzhou dan cuba layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!