KPDN siasat jualan air minuman Si Hulk dalam talian
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan terhadap aktiviti penjualan air minuman jenama Si Hulk secara dalam talian.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi membendung iklan berkaitan produk kesihatan yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan ajaran sesat kerana dipercayai palsu dan mengelirukan.
Menurutnya, KPDN telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi membendung sebarang bentuk pengiklanan produk kesihatan yang tidak diperakui serta tidak sah.
"Kalau kita lihat itu (iklan produk kesihatan) sebagai satu bentuk scam (penipuan), perlu buat laporan polis. Kita boleh ambil tindakan terhadap iklan mengelirukan dan palsu.
"Setakat ini kita belum terima aduan berkaitan produk minuman itu namun saya akan minta siasatan dilakukan bagi membanteras aktiviti jualan terutama produk yang melibatkan aspek kesihatan dan tidak menepati peraturan ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Jelajah Jualan Rahmah di Tapak Pasar Malam Tok Adis, di sini, pada Sabtu.
Justeru, Fuziah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan produk itu diminta menyalurkan kepada pihak KPDN.
Dalam perkembangan sama, Fuziah berkata, syarikat yang memasarkan produk berasaskan minuman kesihatan itu perlu mendaftarkan syarikat dan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memasarkan produk termasuk secara dalam talian.
"Apabila nak pasarkan produk, perlu mendaftarkan syarikat dan jika produk itu 'claim' atau menjanjikan sesuatu perlu kepada kajian saintifik dan kelulusan. Kalau dia kata membawa kesan positif kepada kesihatan perlu adanya kelulusan KKM.
"Jadi mereka harus patuh kepada undang-undang dan perlu ada kelulusan daripada kementerian terlibat," katanya.
Julai lalu, media melaporkan aktiviti perniagaan membabitkan kilang air minuman yang dijalankan kumpulan ajaran sesat Si Hulk di Johor telah ditutup.
Ia susulan sijil halal telah ditarik balik kerana gagal mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak sebelum ini telah memutuskan fahaman yang diasaskan Suhaini Mohammad atau Si Hulk sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-221 yang bersidang pada 9 hingga 11 Disember 2020.
Jelas Wan Zahidi, ajaran itu turut membuat penipuan mengenai khasiat air dan botol Si Hulk dengan mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan bagi menarik minat pembeli.
Katanya, ajaran itu juga mendakwa Si Hulk ialah air hayat iaitu air yang dicari Iskandar Zulkarnain tetapi diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat.
Ia juga didakwa mampu menyembuhkan pelbagai wabak penyakit zahir dan batin serta menghalang sihir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!