PN Negeri sembilan tawar 8 tonggak, subsidi pemohon lesen B2

Ahmad Faizal ketika melancarkan lapan tawaran PN Negeri Sembilan menerusi siaran langsung di Facebook pada Sabtu.
Ahmad Faizal ketika melancarkan lapan tawaran PN Negeri Sembilan menerusi siaran langsung di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menawarkan inisiatif Bantuan Prihatin Peniaga Nismilan dengan peruntukan geran sebanyak RM4 juta setahun kepada penjaja dan peniaga kecil.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara lapan tawaran yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat oleh rakyat negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) minggu depan.

Selain itu katanya, inisiatif Nismilan Mudo akan diwujudkan bagi menyediakan latihan perniagaan digital kepada bakal usahawan muda dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta setahun.

“Subsidi lesen motosikal B2 juga akan diberikan kepada pemohon lesen kali pertama dengan nilai RM300 setiap seorang.

“Kita juga memperuntukan sebanyak RM2 juta untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendidikan pendigitalan di Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di Negeri Sembilan,” katanya ketika melancarkan 8 Tawaran PN Negeri Sembilan menerusi siaran langsung di Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menambah, peruntukkan sejumlah RM5 juta juga akan disalurkan sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri tersebut.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif digariskan bagi memastikan Negeri Sembilan menjadi destinasi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa selain membangunkan 'river cruise' di Sungai Linggi dan Rembau.

Selain itu katanya, PN akan mewujudkan geran Prihatin Orang Kelainan Upaya (OKU) Nismilan sebanyak RM3,000 kepada golongan berkenaan yang berdaftar dan layak untuk mengikuti latihan atau kursus tambahan sebelum memulakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kita akan menambahbaik infrastuktur awam ke arah menjadikan negeri ini yang mesra OKU dalam tempoh lima tahun selain meningkatkan akses pendiidkan mereka melalui peruntukan biasiswa khusus.

“PN akan menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai pakar dalam pelbagai bidang untuk memantau sekali gus memastikan tawaran PN dapat dilaksana sepenuhnya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!