Anak perantau berperanan tentukan pembentukan kerajaan negeri
KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan anak perantau Kelantan yang berada di luar daripada negeri itu bakal memainkan peranan besar dalam penentuan parti yang akan diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, berdasarkan analisa sebelum ini, rakyat Kelantan sudah lama menolak kerajaan sedia ada, sekali gus tidak mustahil sekiranya parti di bawah Kerajaan Perpaduan diberi mandat untuk kepimpinan di Kelantan selepas PRN ini.
Katanya, rakyat Kelantan mahukan perubahan baharu memandangkan sistem kerajaan yang sedia ada sekarang menyukarkan rakyat terutamanya berkaitan isu air yang berlarutan selain isu tanah dan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu.
"Saya tahu bahawa kerajaan Kelantan sebenarnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lepas tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana mereka tahu dan tidak yakin akan diberi kemenangan sekiranya membubarkan DUN ketika itu,” katanya.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Persatuan Veteran ATM Negeri Kelantan Ke-54 Tahun 2023 di Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB), Pengkalan Chepa di sini, pada Sabtu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan, diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!