PRN: Manifesto BN-PH Kelantan garis 4 teras, 34 tawaran
KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggariskan empat teras utama dengan 34 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat di Kelantan secara menyeluruh dan inklusif sekiranya diberi mandat mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, manifesto PRN yang ditawarkan bukanlah janji kosong tetapi gabungan itu berazam merealisasikannya demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat Kelantan.
"Dengan tawaran ini, kita harap rakyat Kelantan dapat berubah demi masa depan negeri ini untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
"Saya harap semua pengundi termasuk yang bermastautin untuk sekian kalinya selepas tiga dekad Pas memerintah, berilah kepercayaan kepada BN dan PH untuk pimpin Kelantan demi kesejahteraan rakyat," katanya pada sidang media Tawaran kepada Rakyat Kelantan, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi BN negeri berkata, antara inti pati utama manisfesto adalah mengambil langkah drastik melipatgandakan usaha untuk menangani isu bekalan air bersih dan menghapuskan tunggakan bil air.
"Manifesto juga memberi keutamaan penyediaan kemudahan kepada rakyat seperti pembinaan terminal pengangkutan awam bersepadu Kelantan Sentral dengan kadar segera.
"Kita juga akan mewujudkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara untuk memacu ekonomi di negeri ini melalui usaha pembangunan ekonomi sosial, pembasmian kemiskinan untuk membantu rakyat dengan lebih proaktif," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa tawaran yang memberi potongan sebanyak 50 peratus antaranya menurunkan lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT), kadar cukai pintu termasuk tunggakan, menurunkan semula premium tanah, caj pecah sempadan dan ubah syarat tanah serta bayaran doket tanah dan batuan.
"Kita juga akan membina kira-kira 5,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, selain diskaun rebat 50 peratus untuk bayaran proses pelan kediaman untuk rumah kali pertama terutama kepada golongan B40, belia dan yang baharu membina keluarga.
"Dalam mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak Kelantan, kita akan mewujudkan taman industri kecil dan sederhana (IKS) dan kawasan industri halal sekali gus menyasarkan 20,000 peluang pekerjaan baharu," katanya.
Selain itu, Ahmad Jazlan berkata, manifesto turut mengambil kira kebajikan wanita dan orang muda di Kelantan dengan pemberian one-off RM3,000 bagi pelajar yang menerima tawaran di institut pengajian tinggi awam dan swasta, tiket bas dan kereta api percuma untuk mahasiswa pergi dan balik sebanyak dua kali setahun.
"Bantuan ibu bersalin untuk anak pertama sebanyak RM1,000 turut akan diberikan serta biasiswa tahunan untuk pelajar Tingkatan Enam sebanyak RM300 setahun.
"Kita juga bersetuju menjadikan pengembangan syiar Islam sebagai perkara utama dengan mewujudkan sebuah Kolej Universiti Tahfiz Al-Quran dan Sains, jawatan guru al-Quran dan kelas al-Quran percuma di seluruh negeri, bantuan tahunan tetap kepada institusi pondok dan tahfiz serta bantuan RM2,000 kepada pasangan yang baharu berkahwin," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!