Melaka mahu bina taman safari terbesar di Malaysia

Rais (dua,kiri) melihat harimau yang telah diawet sempena sambutan Hari Harimau Sedunia 2023, di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini, pada Sabtu.
Rais (dua,kiri) melihat harimau yang telah diawet sempena sambutan Hari Harimau Sedunia 2023, di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Melaka bakal menarik jumlah pelancong yang ramai menerusi pembinaan taman safari terbesar di negara ini yang bertempat di Ayer Keroh.

Exco Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan taman safari berkeluasan 20.2 hektar itu akan mempunyai daya tarikan tersendiri berkonsep terbuka.

Rais (tiga,kiri) ketika menunjukkan pelan pembinaan Taman Safari di Ayer Keroh, Melaka.
Rais (tiga,kiri) ketika menunjukkan pelan pembinaan Taman Safari di Ayer Keroh, Melaka.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Zoo Melaka, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak swasta yang berminat akan bekerjasama untuk memastikan taman berkenan dapat direalisasikan.

Rais berkata, setelah kajian berhubung projek itu dibuat, pihaknya akan membawa proposal perancangan itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mendapat kelulusan agar taman safari itu menjadi kenyataan.

"Setakat ini, kita telah dapat beberapa proposal, cuma saya mahu melihat modul yang terbaik kerana kita tidak mahu taman ini menjadi satu produk pelancongan yang tidak boleh berkekalan lama.

"Kita perlu ambil satu jalan yang mana kalau kita buat, kita akan pastikan ia kekal seperti Zoo Melaka yang telah berusia berpuluh tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sambutan Hari Harimau Sedunia 2023 di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron; Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Pengarah Perhilitan negeri, Petra Sulai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan dua lokasi bagi membangunkan projek itu sama ada di aman Botanikal atau pun di kawasan seluas 12 hektar dalam Zoo Melaka.

"Sebab itu, saya katakan tidak mahu menunggu lama dan kalau boleh tahun hadapan sekurang-kurangnya Ketua Menteri telah merasmikan pecah tanah taman tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pengunjung Zoo terus merekodkan peningkatan dengan seramai 200,000 pengunjung dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!