Undang-undang baharu 3R ikat kebebasan bersuara?
KUALA LUMPUR - Cadangan untuk memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja (3R) dibimbangi akan mengikat kebebasan bersuara khususnya pihak media bagi memberi laporan yang terbaik kerana mereka adalah mata dan telinga rakyat untuk kerajaan mentadbir dengan lebih baik.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai sebuah negara yang berpegang kepada demokrasi, kebebasan bersuara dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, fasal ini menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada warganegara.
"Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan mengkaji kerelevanan undang-undang sedia ada selaras perkembangan semasa susulan peningkatan kes provokasi membabitkan 3R.
"Soalnya, perlukah undang-undang baharu berkaitan 3R diperkenalkan?
"Apakah undang-undang baharu ini akan menjamin kebebasan untuk terus bersuara dan tidak ada manipulasi oleh pemerintah?," kata beliau dalam kolum tetapnya 'Jalar Fikir' yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini.
Ismail Sabri bagaimanapun mengakui tidak ada kebebasan yang mutlak namun undang-undang sedai memadai untuk memastikan kenteraman awam tidak terancam.
Katanya, beberapa undang-undang juga digubal sejak sebelum merdeka lagi bagi memastikan kebebasan ini tidak disalahgunakan.
"Dalam konteks kebebasan bersuara di Malaysia, ia berada di bawah lingkungan kawalan Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Polis 1967, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta beberapa akta lain termasuk Kanun Keseksaan.
"Kerajaan juga harus bersedia berhadapan ledakan digital terutama melalui media sosial yang menyebabkan wujudnya pelbagai golongan seperti pempengaruh (influencer) dan laskar siber (cybertrooper).
"Hari ini, kita sering mendengar akaun-akaun media sosial termasuk milik pemimpin tertentu disekat dek kerana tidak sealiran dengan pemerintah.
"Tindakan ini mengongkong hak dan kebebasan untuk bersuara dan tidak wajar sama sekali. Sekiranya wujud unsur fitnah atau tohmahan sehingga mengancam ketenteraman awam, heret individu terbabit ke muka pengadilan melalui undang-undang sedia ada," katanya.
Tambahnya, dalam dunia hari ini, kebebasan bersuara harus diraikan, namun dalam masa sama harus diingat tidak ada kebebasan yang mutlak. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!