Pengeluaran lateks negara akan ditingkatkan 30 peratus setahun

Fadillah (tiga dari kiri) melihat proses timbang dan jual beli getah sekerap di Pusat Pengumpulan Getah (PMG) sempena program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung di Kuala Sawah, pada Sabtu. - Foto Bernama
Fadillah (tiga dari kiri) melihat proses timbang dan jual beli getah sekerap di Pusat Pengumpulan Getah (PMG) sempena program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung di Kuala Sawah, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan akan meningkatkan pengeluaran lateks negara sebanyak 30 peratus kepada 40,000 tan setahun bagi membantu memenuhi permintaan sektor hiliran getah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, bagi tujuan itu kerajaan telah mewujudkan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) yang merupakan inisiatif di bawah seliaan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

"Insentif ini bertujuan memberi peluang kepada pekebun kecil getah untuk menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk beralih kepada menghasilkan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap.

"Langkah ini juga akan membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import lateks untuk industri tempatan, yang pada masa ini bernilai sehingga RM3 bilion setahun,” katanya kepada media pada sesi lawatan ke Pusat Mengumpul Getah (PMG) Kampung Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan, pada Sabtu.

Usai sesi lawatan ke PMG, Fadillah menyantuni lebih 150 orang pekebun kecil getah dan komuniti serta belia dalam sesi sembang santai di kampung tersebut.

Program ini merupakan sebahagian dari kerangka program Trek Komoditi anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Zon Tengah Semenanjung yang diadakan bermula 5-6 Ogos 2023.

Selain sesi sembang santai, Fadillah juga melawat kebun getah milik penduduk tempatan dan melihat sendiri proses pengumpulan getah dari ladang untuk dibawa ke PMG. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!