Kecederaan tak halang Ketua Polis KL tamatkan cabaran

Mohd Shuhaily melengkapkan antara cabaran KL Cops Urbanathlon 2023 yang berlangsung di IPK Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mohd Shuhaily melengkapkan antara cabaran KL Cops Urbanathlon 2023 yang berlangsung di IPK Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Luka berdarah di kepala tidak menghalang untuk Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menamatkan cabaran KL Cops Urbanathlon 2023.

Mohd Shuhaily dilihat begitu semangat untuk menyelesaikan 'tugasan' itu dalam acara yang dirasmikan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.

Beliau turut menunjukkan kemahiran dan berjaya memanjat tali yang menjadi salah satu cabaran di acara ini.

KL Cops Urbanathlon 2023 ialah acara yang julung kali diadakan di IPK Kuala Lumpur dengan penyertaan 180 peserta membabitkan 36 pasukan terdiri daripada 10 jabatan dan enam polis daerah di bawah pentadbiran Polis Kuala Lumpur termasuk pasukan media.

Menurut Mohd Shuhaily, objektif program itu bagi mengeratkan hubungan di kalangan pasukan Polis Kuala Lumpur dengan mengamalkan gaya hidup sihat menerusi kaedah bersukan, berlari, berbasikal dan lain-lain.

“Melalui program ini, kita boleh melihat bagaimana pasukan ini bekerjasama antara satu sama lain.

“Selain 10 jabatan dan enam daerah polis, kita juga menjemput pengamal media yang diwakili dua pasukan media,” ujarnya di sini pada Sabtu.

Mohd Shuhaily (tengah) bergambar bersama peserta KL Cops Urbanathlon 2023 di IPK Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mohd Shuhaily (tengah) bergambar bersama peserta KL Cops Urbanathlon 2023 di IPK Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mengulas mengenai program mencabar ini, beliau berkata, pelbagai halangan perlu dilalui oleh peserta dalam program berkenaan termasuk larian satu kilometer dengan memakai baju kalis peluru, merangkak bawah lori, terbalikkan tayar besar dan panjat tembok.

Tambahnya, Polis Kuala Lumpur akan meneruskan penganjuran program ini pada masa akan datang dalam usaha mengeratkan hubungan antara masyarakat dan polis.

“Kita akan mengekalkan penyertaan orang awam dalam program ini dan melihat persiapan yang perlu disediakan dalam skala besar,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, penyertaannya dalam program itu mengingatkan beliau dengan kenangan ketika kanak-kanak dalam pelbagai aktiviti lasak.

“Bila sertai program seumpama ini, kita mengimbau kembali masa ketika kanak-kanak yang memanjat tembok dan sebagainya.

“Ia menggamit kembali kenangan silam sambil bersukan sekali gus melihat ketahanan badan ketika ini sama seperti dulu atau tidak,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!