Universiade: Kuartet 4x100m negara gagal lepasi saringan pertama
HASRAT kuartet 4x100 meter (m) lelaki dan wanita negara melangkah ke final acara tersebut di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu tidak kesampaian selepas kedua-dua wakil negara itu terkandas peringkat saringan di Stadium Pusat Sukan Shuangliu pada Sabtu.
Kuartet wanita yang dibarisi Chelsea Cassiopea, Nor Sarah Adi, Nur Afrina Batrisyia dan Nur Aishah Rofina yang berlari pada lorong ketujuh saringan kedua menduduki tempat keempat dengan catatan masa 45.66 saat (s).
Tempat pertama dikuasai kuartet China dengan masa 43.84s, diikuti Taiwan (44.91s) dan ketiga Brazil (44.97s) yang sekali gus mengesahkan slot ke final.
Dalam pada itu, kuartet lelaki negara dibarisi Muhammad Yurisdzwan, Jonathan Nyepa, Muhammad Thaqif dan Aqil Yasmin beraksi pada saringan pertama di lorong kelapan juga terkandas laluan ke aksi final.
Malaysia menduduki tempat kelima dengan catatan 40.4s, yang menyaksikan Afrika Selatan memenangi saringan ini dengan masa 38.73s.
Jepun berada ditangga kedua dengan catatan masa 38.98s diikuti Thailand di kedudukan ketiga menerusi catatan 39.15s untuk masing-masing layak ke final pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!