DUN Lenggeng maruah UMNO, yakin ahli Amanah tidak protes
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin yakin tidak timbul isu protes dalam kalangan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) terhadapnya susulan kerusi berkenaan diberi kepada UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, isu berkenaan telah diselesaikan di peringkat kepimpinan parti dan fokus utama mereka adalah untuk memastikan kemenangan di kerusi itu dapat dipertahankan.
"Saya pun telah berjumpa dengan hampir kesemua kepimpinan Amanah negeri dan mereka setuju untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan BN.
"Buat masa ini saya tak dengar pula isu protes dan saya harap ia tak berlaku," katanya ketika ditemui berkempen di Kampung Daching, Lenggeng baru-baru ini.
Beliau turut menyifatkan kerusi DUN Lenggeng adalah maruah UMNO kerana telah diberi kepercayaan oleh Amanah untuk mempertahankan kerusi terbabit.
Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu berkata, kempen diadakan juga berjalan lancar malah mendapat maklum balas positif daripada pengundi.
"Jumlah pengundi paling ramai di Lenggeng adalah di bahagian Panchor, di situ ada lebih 13,000 pengundi yang mana dulunya kawasan 'gelap' UMNO, namun sekarang sudah 'putih' sebab kita (BN) sudah bergabung (dengan Pakatan Harapan) dan di sebelah sini (perkampungan Lenggeng) memang kubu kuat UMNO.
“BN perlu menang di Lenggeng kerana ia merupakan kerusi maruah kepada UMNO dan BN. Kerusi ini kami minta dari PH dan telah yakinkan bahawa kami boleh menang di kerusi ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Lenggeng mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai hab pendidikan dan pertanian.
Tambahnya, dua perkara itu merupakan tekad yang ingin dibawanya sekiranya diberi peluang oleh pengundi menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Lenggeng dimenangi PH menerusi calon Amanah, Suhaimi Kassim dengan majoriti 986 undi menewaskan dua calon lain termasuk calon BN, Mazalan Ma’arop.
Bagaimanapun, pada pilihan raya kali ini, kerusi terbabit diberi kepada BN selepas dipersetujui oleh Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu pada awalnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati pada sebilangan ahli Amanah kerana parti itu hilang satu daripada tiga kerusi yang sepatutnya ditandingi mereka pada PRN ini.
Mohd Asna berdepan pertembungan tiga penjuru dengan calon PN, Mohd Fadli Che Me dan calon Bebas, Zul Azki Mat Sulop.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!