Polis Selangor terima 65 laporan sepanjang PRN

Tiada kertas siasatan dibuka melibatkan 65 laporan yang diterima sepanjang tujuh hari berlangsungnya kempen PRN di negeri ini - Gambar hiasan
Tiada kertas siasatan dibuka melibatkan 65 laporan yang diterima sepanjang tujuh hari berlangsungnya kempen PRN di negeri ini - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tiang bendera parti serta poster calon tumbang selain isu tidak puas hati antara 65 laporan polis diterima sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua laporan polis terbabit bagaimanapun tidak dibuka kertas siasatan berikutan kes disifatkan terpencil dan tiada unsur khianat.

"Tiada kertas siasatan dibuka melibatkan 65 laporan yang diterima sepanjang tujuh hari berlangsungnya PRN di negeri ini.

"Antaranya melibatkan bendera, poster tumbang dan isu tidak puas hati, yang mana kesemua kes ini tidak melibatkan elemen khianat sekali gus tiada kertas siasatan dibuka setakat ini," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemantauan sentiasa dijalankan dalam memastikan suasana sentiasa aman sepanjang PRN kali ini.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kita mempunyai team cantas yang mana mereka ini ditugaskan dalam melaksanakan pemantauan dan tindakan segera sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.

"Setakat ini, suasana PRN di Selangor berlangsung dengan harmoni dan saya harap ia kekal sebegini dalam memastikan proses PRN ini sentiasa berjalan dengan lancar," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya mengeluarkan sebanyak 243 permit melibatkan kempen dan ceramah di negeri ini.

"Hasil pemantauan dijalankan setakat ini mendapati sebanyak 176 kempen dan 67 ceramah diadakan dengan permit yang sah di keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN).

"Semua calon diingatkan sentiasa mematuhi had masa berceramah dan pada masa sama tidak menjadikan masjid, surau atau mana-mana rumah ibadat sebagai tempat menggantung poster, iklan serta jadual calon yang bertanding," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!