Tujuh pendaki sesat di Bukit Galing ditemui selamat

Anggota bomba dari BBP Kuantan menggerakkan operasi SAR selepas menerima maklumat berhubung kehilangan tujuh pendaki di Bukit Galing pada Sabtu.
Anggota bomba dari BBP Kuantan menggerakkan operasi SAR selepas menerima maklumat berhubung kehilangan tujuh pendaki di Bukit Galing pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Tujuh lelaki ditemui selamat selepas tersesat hampir empat jam ketika mendaki Bukit Galing dekat sini pada Sabtu.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kesemua mangsa ditemui jam 4.30 petang tanpa kecederaan.

Menurutnya, difahamkan mangsa pernah mendaki bukit terbabit namun kali ini mereka dipercayai tersasar laluan hingga tersesat.

"Pihak bomba menerima panggilan daripada salah seorang pendaki jam 12.22 tengah hari memaklumkan dia bersama enam lagi rakannya tersesat di bukit berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, 11 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi untuk operasi SAR," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ismail berkata, operasi pencarian digerakkan berpandukan kedudukan yang diberikan mangsa kira-kira tiga kilometer dari kedudukan pasukan penyelamat.

"Selepas ditemui, semua mangsa dibawa keluar oleh anggota yang terlibat dalam operasi SAR sebelum itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!