Pan-gon tentukan nasib Faisal bersama Harimau Malaya
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sama ada akan memanggil Faisal Halim beraksi pada perlawanan persahabatan menentang China dan Syria September ini atau sebaliknya.
Ia selepas FAM menggantung pemain sensasi Selangor FC itu selama sebulan bermula 25 Julai hingga 23 Ogos.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Faisal benar-benar bersedia untuk beraksi bersama Harimau Malaya susulan kekurangan minit perlawanan kompetitif.
"Perkara itu saya serahkan kepada Pan-gon," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Liga Wanita Malaysia di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.
Sebelum ini, Faisal menerima hukuman penggantungan perlawanan selama empat bulan susulan kenyataan media yang dibuat pemain itu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lepas.
Bagaimanapun, hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik selama setahun bermula 24 Ogos.
Faisal juga telah mengemukakan rayuan, namun ditolak Jawatankuasa Rayuan FAM, sebaliknya badan induk itu memberikan kelonggaran untuknya kembali turun menjalani sesi latihan bersama skuad Gergasi Merah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!