'Saya lawat lokasi kecurian REE untuk siasat' - Sanusi

Saifuddin menunjukkan gambar lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang oleh Muhammad Sanusi pada 19 Februari lalu.
Saifuddin menunjukkan gambar lawatan tapak di Hutan Simpan Bukit Enggang oleh Muhammad Sanusi pada 19 Februari lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan telah meninjau tapak kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik pada 19 Februari lalu.

Beliau berkata, kehadirannya ke tapak berkenaan adalah untuk mendapatkan maklumat berhubung kecurian mineral tersebut selain mahu melihat sendiri keadaan di tapak bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Menurutnya, hasil dapatan lawatan berkenaan seterusnya dibawa dalam mesyuarat Exco untuk memastikan insiden seperti itu tidak berulang.

“Pergi melawat kawasan kecurian, itu perkara biasa, apa salahnya? Saya datang sendiri nak tengok macam mana mereka curi, operasinya bagaimana, kenapa orang tak perasan (ketika berlaku kecurian), kenapa sehingga dua kali mereka boleh masuk?” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi tegaskan, hasil dapatan lawatan berkenaan yang turut disertai pelbagai agensi kerajaan mengumpulkan setiap maklumat diperoleh bagi membolehkan satu prosedur dirangka untuk mengekang kejadian berulang.

“Saya juga bertanya kepada setiap agensi, apa jabatan akan lakukan untuk atasi masalah ini, termasuk apa yang dirampas serta bagaimana penceroboh mengambil mineral itu.

“Semua maklumat dibawa dalam mesyuarat Exco sebelum membuat dasar baharu, yang mana diputuskan untuk bekukan semua aktiviti dan proses berkaitan REE dalam hutan simpan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sebuah jawatankuasa khas melibatkan semua jabatan ditubuhkan bagi membangunkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan REE.

“Sehingga ke hari ini, dasar berkenaan masih kekal.

"Pudin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) bukan ketahuan (tahu) bidang kuasa. Dia ingat kita tak buat apa satu pun, apa punya menteri,” soalnya.

Pada Khamis, Saifuddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri mendedahkan gambar Muhammad Sanusi mengadakan lawatan tapak ke Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik pada 19 Februari lalu.

Saifuddin mendakwa, pendedahan gambar itu sekali gus membuktikan Muhammad Sanusi sememangnya mempunyai pengetahuan mengenai kecurian REE di Kedah.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Muhammad Sanusi hanya mendiamkan diri dan tiada tindakan diambil berkaitan perkara terbabit.

Muhammad Sanusi sebaliknya menempelak Saifuddin yang bijak memanipulasi maklumat diperolehi bagi memberi gambaran negatif terhadap dirinya.

“Saya bukan pergi tapak kecurian seorang, saya pergi ramai dengan wakil jabatan sebab kami nak siasat.

“Antara yang sertai saya ketika itu, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bersama lima pegawai, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama tiga pegawai, Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah bersama 10 pegawai, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), polis termasuk wakil Pejabat Daerah dan Tanah Sik,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Saifuddin dedah gambar lawatan Sanusi ke tapak REE

Mereka sudah lama tahu simpanan REE di seluruh dunia - Sanusi

Sanusi perlu malu kes kecurian REE di Kedah - Anwar

Sanusi dakwa Anwar bawa lelaki Indonesia mohon kawasan REE

REE: Sanusi nafi bawa masuk So Loi Fat

'Saifuddin bukan tunjuk bukti, dia hanya bina naratif' - Sanusi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!