Kerjasama BN, PH di Pulau Pinang antara yang terbaik
BUTTERWORTH - Tahap keserasian dan kerjasama bersepadu antara jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang adalah antara yang terbaik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu depan, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu dapat dilihat bukan sekadar dalam program berkaitan kempen, tetapi melibatkan program berkaitan masyarakat.
"Ini adalah kerana kepimpinan yang baik daripada Barisan Nasional Pulau Pinang ini dan kita juga mengemukakan calon-calon yang terbaik.
"Walaupun kita hanya menawarkan enam orang calon ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di Pulau Pinang ini, jentera BN bersama dengan jentera PH akan bersama bukan hanya memenangkan calon di enam kawasan ini tetapi jentera BN juga membantu jentera-jentera PH di kawasan Dewan Undangan Negeri yang lain,” katanya pada sidang media di sini, pada Sabtu..
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merasmikan program Hari Terbuka Agropelancongan Tasek Gelugor - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Jeti Pengkalan Machang, Sungai Dua di sini.
Ahmad Zahid turut melancarkan Catamaran Cruise Agropelancongan Tasek Gelugor Pulau Pinang yang siap beroperasi melibatkan kapasiti 12 penumpang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keserasian antara BN dan PH sangat penting kerana ia merupakan ujian pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
Beliau turut membandingkan kerjasama BN dan PH dengan Perikatan Nasional (PN), dan mengaitkan insiden Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau yang merupakan Presiden Gerakan, yang dikatakan dihalang daripada menghadiri Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor baru-baru ini.
"Mereka ada Pas, Bersatu, tetapi pemimpin utama Presiden Gerakan tidak dibenarkan dalam majlis kempen anjuran Perikatan Nasional. Ini memberikan gambaran bahawa tiada keserasian dalam kalangan mereka,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. - Bernama
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!