Masih ramai tidak tahu bantuan disedia kerajaan Selangor - Juwairiya

Juwairiya (tengah) pada program Ziarah Mesra Penduduk di Rumah Pangsa AU3 di sini pada Sabtu.
Juwairiya (tengah) pada program Ziarah Mesra Penduduk di Rumah Pangsa AU3 di sini pada Sabtu.
A
A
A

HULU KELANG - [DIKEMAS KINI] Rakyat Selangor terlepas peluang menikmati pelbagai manfaat dan bantuan disebabkan kurang peka dengan program serta inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri.

Calon Pakatan Harapan (PH) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau menyasarkan untuk mempergiat program bertemu rakyat menerusi kaunter bergerak untuk meningkatkan kesedaran penduduk berhubung perkara itu.

Menurutnya, ada penduduk tidak mengetahui program-program yang layak dimohon walaupun inisiatif tersebut telah dilaksanakan lebih 10 tahun.

"Ramai belum mengetahui program dan inisiatif di bawah kerajaan negeri dan Persekutuaan kerana tak tahu akses selain penerangan tidak sampai kepada mereka.

"Jadi sekiranya diberikan mandat, saya akan 'reach out' kepada masyarakat, turun padang dan buka kaunter pendaftaran serta tawarkan program-program kerajaan negeri ini," katanya pada program Ziarah Mesra Penduduk di Rumah Pangsa AU3 di sini pada Sabtu.

Pada program berkenaan, beliau berkesempatan mengunjungi sebuah unit dua bilik yang dihuni tujuh beranak daripada nenek hingga ke cicit.

Juwairiya berkata, keluarga berkenaan layak memohon bantuan perumahan di bawah skim Rumah Selangorku, Rumah Idaman serta Rumah Harapan.

"Kerajaan negeri perkenal program 'rent to own' selain pembelian rumah bagi kategori rumah A sampai D bernilai antara RM45,000 hingga RM250,000.

"Seperti kes keluarga ini, anak serta menantu bekerja dan boleh membuat pinjaman. Jika penuhi syarat rumah pertamaku, mereka layak memohon skim-skim yang ditawarkan itu," katanya.

Beliau berkata, banyak inisiatif dirangka kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor termasuk bantuan perniagaan selain 100,000 peluang pekerjaan baharu yang bakal dicipta dalam tempoh lima tahun akan datang jika PH meneruskan pentadbiran Selangor.

"Peluang dan ruang itu ada, pelbagai inisiatif disediakan cuma mungkin maklumat tersebut tidak sampai.

"Kita perlu pergiat lagi karnival kerjaya 'reskilling and upskilling' seperti mereka yang terlibat dalam sektor penghantar makanan boleh dilengkapkan dengan program kemahiran untuk survival mereka pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu Juwairiya berkata, jika diberikan mandat, beliau akan memfokuskan menyelesaikan aspek pembangunan dan Infrastruktur yang masih perlu ditambah baik terutama membabitkan isu penyelenggaraan jalan serta kemudahan sukan dan rekreasi di Hulu Kelang.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!