SPCT akan jadi pangkalan dalam industri kapal persiaran

Anthony Loke.
Anthony Loke.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Pengangkutan berhasrat untuk menjadikan Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) sebagai pangkalan dalam industri kapal persiaran sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pulau Pinang merupakan negeri berpotensi besar dalam sektor pelancongan, justeru pihaknya merancang untuk mempertingkatkan industri itu.

"Perancangan kita (Kementerian Pengangkutan) adalah untuk melaksanakan Fly & Cruise di Pulau Pinang dengan SPCT akan dijadikan ‘home port’ (pangkalan) manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan dinaik taraf untuk membolehkan lebih banyak pelancong melawat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkempen bersama calon Dewan Undangan Negeri Padang Kota Chow Kon Yeow di sini pada Sabtu.

Selain itu, Anthony berkata, perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang akan mula beroperasi pada Isnin depan yang menghubungkan antara Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU-Terminal Pelayaran Jeti Swettenham) dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.

Beliau berkata, selain projek feri dan pembesaran LTAPP, projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang turut dilaksanakan, yang mungkin akan mengambil masa lebih lama untuk direalisasikan.

"Semua perancangan itu akan dapat dilaksanakan dengan berjaya sekiranya Pulau Pinang kekal bersama Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!