Terbuka Australia: Zii Jia kandas di separuh akhir
LANGKAH jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia untuk bangkit semula daripada prestasi tidak menentu musim ini berterusan apabila laluan ke final tersekat di separuh akhir Terbuka Australia pada Sabtu.
Pemain nombor 17 dunia itu, tewas 19-21, 21-13, 13-21 kepada pemain nombor 24 dunia, Hong Yang dari China dalam pertarungan selama 81 minit di Arena Quaycentre, Sydney.
Bagaimanapun pencapaian di Terbuka Australia ini boleh disifatkan sebagai petanda positif, ia selepas pemuda kelahiran Alor Setar tersebut tersingkir seawal pusingan pertama dalam empat kejohanan berturut-turut sebelum ini.
Keputusan diraih Hong Yang itu membolehkan dia berdepan dengan pemain dari India, HS Prannoy di pentas final pada Ahad.
Prannoy melangkah ke final dengan menyingkirkan rakan senegara, Priyanshu Rajawat, 21-18, 21-12 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Susulan kekalahan Jia Zia di pentas separuh akhir, cabaran Malaysia berakhir dalam Terbuka Australia.
Ia selepas pemain perseorangan Ng Tze Yong dan juara beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut terkandas di suku akhir pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!