Anwar yakin jadi PM untuk lima tahun
GEORGETOWN - Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau akan menjadi Perdana Menteri bagi lima tahun ini untuk mentadbir negara selain menghapuskan budaya sakau dalam kalangan pemimpin negara.
Anwar berkata, beliau mendapat sokongan daripada rakan-rakan dalam gabungan parti Kerajaan Perpaduan untuk menjadi Perdana Menteri selama lapan bulan ini.
"Saya nak beritahu di sini, saya kawan-kawan beri sokongan menjadi Perdana Menteri lapan bulan, bukan lapan bukan, insya-ALLAH lima tahun (akan datang).
"Tetapi dalam lapan bulan, kita buat yang terbaik. Pertama, tata kelola yang baik, tak boleh kita toleransi lagi. Tamatkan rasuah dalam negara ini, tak boleh.
"Sekarang bila kita ambil tindakan tentang rasuah, dia kata kita dendam. Saya tidak akan bertolak ansur, ingat kau Tun, kita akan biarkan? Tidak. Awak pukul, hina, maki, jatuhkan maruah saya, saya maafkan, tetapi tidak boleh maafkan jika awak curi duit rakyat," katanya ketika berucap di Ceramah Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di Persiaran Karpal Singh di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertahan lama dan sudah dilihat 'kacau bilau'.
Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, UMNO yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat menjadi liabiliti kepada kerajaan yang dipimpin Anwar.
Dalam majlis sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pilihan raya negeri (PRN) ini akan memberi kejutan kerana rakyat akan bangkit dan membuat keputusan untuk menyelamatkan Malaysia sebagai sebuah negara aman.
Katanya, Malaysia dengan kerajaan yang stabil dan menolak pihak-pihak yang memecahkan rakyat dengan menggunakan politik untuk menghasut kaum.
"Bila ada kuasa, curi duit, ambil projek, ambil tanah, bila tak ada kuasa, mahu selamatkan Melayu. Ini tipu punya politik. Orang-orang ini pernah jadi Perdana Menteri, (jadi) menteri, sudah lama ada kuasa. Bila hilang kuasa, hidup Melayu.
"Melayu sekarang tidak bodoh, Melayu kali ini, akan buat keputusan untuk selamatkan negara. Untuk orang Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita kena berterima kasih kepada Chow Kon Yeow kerana kepimpinan beliau dengan meneruskan kerja yang sangat baik sebelum ini.
"Pulau Pinang adalah negeri kritikal, ia menjadi model bagaimana tata kelola yang baik dilaksanakan, menguruskan ekonomi dengan bagus dan memastikan setiap kaum mempunyai tempat di negeri ini," katanya.
Kata Presiden PKR itu lagi, beliau yakin Pakatan Harapan di Pulau Pinang yang diketuai Kon Yeow akan mendapat mandat dan sokongan penuh daripada pengundi Melayu pada PRN kali ini.
"Saya juga percaya kebangkitan dan kesedaran orang Melayu untuk bersama-sama perjuangan PH akan bermula di Pulau Pinang. Kesedaran orang Melayu bermula di Pulau Pinang, kebangkitan rakyat dengan kemenangan Pakatan Rakyat waktu itu (2008) juga di Pulau Pinang.
"Jadi pastikan kita kekalkan kekuatan kita, 'based' (asas) kita, 'leadership' (kepimpinan) kita dari segi kesedaran rakyat untuk membawa perubahan di negara ini," katanya.
Anwar berkata lagi, beliau sangat optimis tentang masa depan Pulau Pinang dan akan memberi perhatian kepada Pulau Pinang sepanjang menjadi Perdana Menteri.
"PRN kali ini adalah permulaan kepada negara untuk membentuk asas baharu dan pengundi tanpa mengira kaum perlu memberi mesej jelas yang mana mereka menolak politik berasaskan perkauman.
"Saya bukan nak menang (PRN) saja, tapi saya nak menang dengan yakin dan majoriti rakyat tolak perkauman dan setiap undi termasuk dari undi Cina sangat kritikal.
"Saya mengingatkan, pengundi Cina yang mana tanpa sokongan daripada Barisan Nasional, PH tidak mungkin dapat membentuk kerajaan Pusat," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!